27/07/2026
SOROTAN AKTIVITI: KEM PEMANTAPAN JATI DIRI PEGAWAI PENGURUSAN ADUAN SIRI 2 TAHUN 2026
Majlis Penutupan | 7 Jun 2026 (Ahad)
Pusat Latihan Kenegaraan, Kundasang
Majlis Penutupan Kem Pemantapan Jati Diri Pegawai Pengurusan Aduan (PPA) Siri 2 Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Puan Samsakiah Jamil, Ketua Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Dalam ucapan penutupan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen, kerjasama dan penglibatan aktif sepanjang program, serta menyeru agar segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh terus diterapkan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Pegawai Pengurusan Aduan yang cekap, profesional dan berintegriti.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada peserta dan kumpulan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang program sebagai penghargaan terhadap komitmen, kepimpinan, semangat berpasukan serta penghayatan nilai-nilai yang diterapkan. Peserta Terbaik Lelaki dianugerahkan kepada Encik Hairul bin Aris daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, manakala Peserta Terbaik Perempuan disandang oleh Puan Zubaidah Siti Jubaidah Abdul Hamid daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Bagi kategori kumpulan terbaik, Kumpulan Tembadau dinobatkan sebagai Johan, diikuti Kumpulan Oyen The Cat sebagai Naib Johan dan Kumpulan Wolf di tempat Ketiga. Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas dedikasi yang ditunjukkan, semoga ilmu dan pengalaman sepanjang kem ini menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cemerlang, berintegriti dan berorientasikan rakyat.