24/02/2022
12 Mac 2021 - Majlis Pelancaran Sabah Executive Learning Through Interactive Talent Engagement Platform (Sabah Elite Percipio) telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong JP, Setiausaha Kerajaan Negeri bertempat di Smart Library, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Aras 14, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.
Menurut YB DSP Sr. Safar Untong JP, Sabah Elite Percipio merupakan inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) yang membolehkan semua penjawat awam negeri gred 41 hingga JUSA menghadiri kursus secara dalam talian.
Katanya, Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri hanya perlu mendaftar secara dalam talian dan penilaian kompetensi akan dilakukan melalui platform berkenaan.
"Hari ini (Jumaat), kita lancarkan sistem yang telah kita bangunkan sejak bulan lalu. Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri boleh menghadiri kursus di mana-mana sahaja dengan hanya menggunakan mobile device mereka," katanya.
Selain itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, sistem itu telah dilengkapi dengan kursus-kursus yang telah dilesenkan sama ada dalam bidang Digitalization, Digital Transformation, Big Data, dan sebagainya.
Katanya, kewujudan sistem itu juga secara tidak langsung akan memberi kefahaman kepada semua penjawat awam supaya dapat merancang dan memahami kaedah pendigitalan data-data yang ada di pejabat masing-masing dan seterusnya menganalisis data tersebut untuk dijadikan perkhidmatan iaitu Data As A Service (DaaS).
Dalam pada itu, YB DSP Sr. Safar Untong memaklumkan bahawa fokus dan hala tuju Kerajaan ke arah pendigitalan masih kekal dan berada di landasan yang betul. Beliau yakin bahawa Kerajaan Negeri akan mencapai Kerajaan Digital menjelang tahun 2024 sepertimana yang telah dirancang.
Turut hadir adalah YBhg. Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Puan Josie Lai Mei Sing, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (Pembangunan), Tuan Ramlee Kariah, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (Perkhidmatan), dan Pengarah Bahagian Kerajaan Digital Puan Doria Tai Yun Tyng.
Sumber: Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah