13/08/2025
DAPSY SABAH TUNTUT KPM GANTUNG SERTA-MERTA PENGETUA, PK HEM & WARDEN - BUKAN SEKADAR PINDAH SEMENTARA
Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggantung tugas serta-merta Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan warden SMKA Tun Datu Mustapha yang sedang disiasat berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina - bukannya sekadar memindahkan mereka ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Langkah gantung tugas adalah penting dan mendesak demi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, dan tidak diganggu oleh sebarang pengaruh daripada pihak yang terlibat.
DAPSY Sabah menegaskan bahawa pemindahan sementara adalah tidak mencukupi. Pegawai-pegawai ini mesti digantung sehingga siasatan selesai dan mereka dibuktikan tidak bersalah. Membiarkan pegawai yang sedang disiasat terus memegang jawatan aktif, walaupun di lokasi berbeza, berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap proses siasatan.
Kes ini memerlukan pendekatan tiada toleransi terhadap sebarang persepsi campur tangan atau pengaruh ke atas saksi, pelajar, atau warga sekolah.
DAPSY Sabah menegaskan bahawa keselamatan, maruah dan keadilan untuk pelajar mesti diutamakan melebihi kepentingan pentadbiran.
Chan juga menegaskan bahawa penggantungan tugas ketika siasatan adalah amalan biasa bagi kes serius, apatah lagi yang melibatkan kematian seorang pelajar.
DAPSY Sabah berdiri teguh bersama keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan rakyat Sabah dalam menuntut pertanggungjawaban penuh, ketelusan, serta keadilan dalam proses ini. Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan.
CHAN LOONG WEI
KETUA DAPSY SABAH