09/07/2026
Selasa / 7 Julai 2026 / SICC
Aspirasi KKRU: Beyond 2030.
Aspirasi KKRU: Beyond 2030 pada hari ini telah diketengahkan sebagai teras hala tuju di bawah Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur, utiliti dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, mampan serta berorientasikan rakyat.
Aspirasi tersebut telah dibentangkan oleh Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, selaku ahli panel dalam SANKALPA SABAH 2026: Forum Pelaksanaan Strategik SMJ 2.0 – Forum 3 bertajuk “Synergy Infrastructure, Innovation, Service Delivery and Revenue Generation: Driving Sabah’s Urban and Rural Development” yang berlangsung di Sipadan Hall 1, Level 4, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Dalam sesi tersebut, empat teras utama Aspirasi KKRU: Beyond 2030 telah digariskan iaitu Operasi Pintar, Pembangunan Infrastruktur, Kelestarian serta Perkhidmatan dan Rakyat sebagai usaha memperkukuh komitmen KKRU untuk memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam memastikan pengurusan dan penyediaan sistem infrastruktur yang lebih cekap, seterusnya menyemarakkan usaha bersepadu dalam merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya.
Majlis perasmian SANKALPA SABAH 2026: Forum Pelaksanaan Strategik SMJ 2.0 disempurnakan oleh YB Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Antara intipati ucapan YB Setiausaha Kerajaan Negeri termasuklah penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), melaksana Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), pelan strategik agensi yang jelas, pensijilan ISO dan Anti-Bribery Management System (ABMS) serta pelaksanaan Good Regulatory Practice (GRP).