10/08/2026
ECoS telah dijemput untuk menghadiri Sesi Libat Urus Project Cable Transition anjuran Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) yang telah diadakan baru-baru ini.
Delegasi ECoS diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan, Muhammad Azuan bin Zainuddin, bersama Penolong Pengarah, Andrew Goduk; serta wakil daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. Turut menyertai delegasi ialah pemegang taruh daripada pelbagai kumpulan berkepentingan, termasuk pihak kawal selia, institusi latihan, pengilang, pengguna serta pihak yang terlibat dalam aspek publisiti.
Sesi libat urus ini memberi tumpuan kepada perancangan ST untuk menguatkuasakan sepenuhnya penukaran kod warna kabel mulai 1 Januari 2029 di Semenanjung Malaysia dan Labuan, termasuk kaedah mitigasi yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh peralihan bagi memastikan perubahan tersebut dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan, tanpa memberikan impak negatif kepada para pemegang taruh yang terlibat.
Perbincangan turut memberi ruang kepada ECoS untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti cabaran serta membincangkan langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian bagi memastikan proses peralihan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar, khususnya dengan mengambil kira konteks, keperluan dan kepentingan Negeri Sabah.
Sesi libat urus ini merupakan satu platform penting bagi ECoS untuk memahami perancangan penukaran kod warna kabel oleh ST serta memastikan kepentingan dan keperluan Negeri Sabah turut diambil kira. ECoS akan terus bekerjasama dengan ST dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan sebarang keperluan dan tindakan susulan yang berkaitan dapat dirancang dan dilaksanakan secara teratur, berperingkat dan berkesan, selaras dengan keperluan serta keadaan di Negeri Sabah.