08/05/2026
Di sebalik panorama indah pulau-pulau yang dilawati di perairan ESSZONE Sabah, rombongan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Bin Haji Noor dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, YB Datuk Jafry Bin Haji Ariffin pada 5 hingga 7 Mei 2026 turut diberi peluang menyelami kisah sebenar usaha pemuliharaan dan penyelidikan yang sedang digerakkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Taman-Taman Sabah.
Sepanjang lawatan ke Taman Pulau Penyu dan Taman Pulau Sipadan, penyelidik-penyelidik marin dan diketuai Pengarah Taman-Taman Sabah, YBhg Datuk Dr. Maklarin Lakim telah berkongsi taklimat ringkas namun penuh bermakna mengenai pelbagai inisiatif konservasi yang dilaksanakan secara berterusan di lapangan.
Antara usaha yang diketengahkan termasuk program pusat penetasan dan rehabilitasi penyu, penyelamatan penyu albino yang amat jarang ditemui, kajian awal berkaitan spesies belangkas di Bakkungan Kecil, Program Angkat Sarang Penyu dan pembangunan Galeri Marin di Pulau Selingaan, selain program pemuliharaan ketam kelapa serta pengurusan pusat penetasan penyu di Taman Pulau Sipadan.
Perkongsian ini bukan sahaja menonjolkan keunikan dan kekayaan biodiversiti Sabah, malah memperlihatkan komitmen berterusan Taman-Taman Sabah dalam memperkukuhkan usaha pemuliharaan berasaskan sains, pendidikan dan pengurusan lapangan demi memastikan khazanah alam negeri ini terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Di sebalik setiap pulau yang memukau, terdapat pasukan penyelidik, pegawai lapangan dan petugas konservasi yang bekerja penuh dedikasi tanpa mengenal waktu — menjalankan penyelidikan, pemantauan dan usaha pemuliharaan bagi memastikan ekosistem marin Sabah terus kekal antara yang terbaik dan paling bernilai di dunia.
Foto:
Bah. Inovasi & Digitalisasi TTS
Taman Pulau Penyu
Info:
En. Fazrullah Rizally Abdul Razak