13/08/2026
LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN: PENGURUSAN DAN PENGENDALIAN KEBAKARAN PESAWAT SERTA PENGENDALIAN PESAKIT
Kota Kinabalu - 12 Ogos 2026
PGU Pangkalan Sabah telah melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan Pengurusan dan Pengendalian Kebakaran Pesawat serta Pengendalian Pesakit dengan kerjasama Airport Fire and Rescue Service (AFRS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB KK).
Program telah dirasmikan dengan ucapan aluan oleh YDH ACP Ras Nazrin Shah bin Abdullah, Komander PGU Pangkalan Sabah, sebelum diteruskan dengan sesi taklimat keselamatan kebakaran, latihan praktikal penggunaan alat pemadam api serta simulasi pengendalian kebakaran pesawat dan mangsa kecemasan yang dikendalikan oleh pihak AFRS LTAB Kota Kinabalu.
Latihan ini bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan, kefahaman dan kesiapsiagaan warga kerja PGU Pangkalan Sabah dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan yang berkaitan dengan operasi penerbangan, di samping memperkukuhkan kecekapan tindakan awal serta koordinasi antara agensi berkaitan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar, ucapan penutup oleh YDH ACP Ras Nazrin Shah bin Abdullah, serta penyampaian cenderahati kepada pihak AFRS LTAB Kota Kinabalu sebagai tanda penghargaan atas komitmen, kerjasama dan perkongsian kepakaran yang telah diberikan sepanjang program berlangsung.
PGU Pangkalan Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak AFRS LTAB Kota Kinabalu atas kejayaan penganjuran latihan ini yang secara langsung menyumbang kepada pengukuhan budaya keselamatan dan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tugasan.