14/08/2026
*Mesyuarat Pelarasan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM)- Kampung Sadir, Padawan dan SMK Hajjah Laila Taib, Samarahan*
6 Ogos 2026, Khamis- Pusat Kelestarian Universiti (USC) UNIMAS telah mengadakan Mesyuarat Pelarasan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2026 Bil. 2/ 2026 di Bilik Mesyuarat Rajang, Bangunan HEPA, UNIMAS. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Pengarah Pusat Kelestarian Universiti UNIMAS, Professor Madya Dr. Rafeah Binti Wahi sebagai Pengerusi Mesyuarat, turut disertai oleh Encik Paul Mathieus Anak Akin (SAO Pejabat Daerah Kecil Padawan), Encik Abdul Aswaridzal Abdullah (ADTEC), Encik Ramelan Bin James (Wakil PPD Samarahan), Tuan Pengetua Syed Ishak Bin Syed Manan (Pengetua SMK Hajjah Laila Taib), Encik Bobyham William (Ketua Kampung, Kampung Sadir), Ketua-Ketua PTJ di UNIMAS dan Ketua-ketua Projek. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan tentang Laporan prestasi projek dan kewangan KAM dan SAM 2025, Pembentukan Jawatankuasa Induk dan Pelaksanaan KAM dan SAM 2026 dan Pelaporan Status Projek KAM dan SAM 2026.
Pada tahun ini, Kampung Sadir telah dipilih sebagai penerima manfaat KAM 2026 manakala SMK Hajjah Laila Taib telah dipilih sebagai penerima manfaat SAM 2026. Di bawah program KAM 2026, terdapat 6 inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan pusat informasi, projek pembekalan dan pemasangan lampu solar bertiang, pembinaan fasiliti ke air terjun, pembinaan pondok rehat, pembinaan pintu gerbang utama dan bengkel kemahiran untuk penduduk Kampung Sadir. Selain itu, di bawah pelaksanaan SAM 2026, SMK Hajjah Laila Taib akan dibekalkan dengan 1 unit LCD untuk dipasangkan di dewan sekolah dan 2 jenis program motivasi akan dilaksanakan untuk semua pelajar Tingkatan 5 SMK Hajjah Laila Taib. Inisiatif-inisiatif ini menyokong daya usaha kerajaan MADANI untuk membantu merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, merapatkan jurang pendidikan, memperkasa kemudahan pembelajaran murid dan menaik taraf fasiliti-fasiliti di kampung dan sekolah.
Pada tahun lepas, UNIMAS telah menyempurnakan program KAM dan SAM 2025 di Kampung Semera dan SMK Kota Samarahan dengan jayanya. Kejayaan ini menunjukkan bahawa UNIMAS mampu memperkukuh pendekatan Whole of Government melalui penyediaan kemahiran dan sumber dari pelbagai pihak bagi memastikan perkhidmatan kepada komuniti disampaikan dengan pantas dan berkesan.