12/07/2026
KENYATAAN MEDIA
PAS KAWASAN TENGGARA
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR KE-16
N35 DUN PASIR RAJA
12 Julai 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
1. PAS Kawasan Tenggara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional, ahli-ahli PAS, petugas parti, jentera pilihan raya serta para penyokong yang telah bekerja dengan penuh kesungguhan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 bagi N35 DUN Pasir Raja.
2. Penghargaan khusus turut diberikan kepada seluruh ahli dan jentera PAS daripada peringkat kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama, cawangan-cawangan, Unit Daerah Mengundi serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga, masa, kepakaran dan wang ringgit bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional, Puan Yuhanita binti Yunan.
3. PAS Kawasan Tenggara juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengundi N35 Pasir Raja yang telah memberikan kepercayaan dan undi kepada calon Perikatan Nasional. Setiap undi yang diterima merupakan satu amanah dan manifestasi sokongan rakyat terhadap agenda perjuangan Perikatan Nasional dan PAS.
4. PAS Kawasan Tenggara mengucapkan tahniah dan syabas kepada Barisan Nasional yang diterajui oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 serta kejayaan memperoleh mandat untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor yang baharu.
5. Selaras dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr. Haji Mahfodz bin Mohamed, PAS Kawasan Tenggara menerima keputusan pilihan raya ini dengan penuh kematangan serta mengambil maklum kehendak rakyat Johor dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
6. PAS Kawasan Tenggara bersama Perikatan Nasional akan melaksanakan penilaian dan bedah siasat secara menyeluruh terhadap keputusan N35 DUN Pasir Raja. Setiap kelemahan akan diperbaiki, manakala kekuatan dan sokongan yang telah dibina akan terus diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
7. Keputusan ini bukanlah titik noktah kepada perjuangan PAS dan Perikatan Nasional di Tenggara. Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk kami terus memperkemaskan organisasi, memperkukuhkan kesatuan ahli serta meningkatkan khidmat kepada masyarakat.
8. PAS Kawasan Tenggara akan terus istiqamah membawa agenda perjuangan Islam, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara serta memperjuangkan kebajikan rakyat. Kami akan terus berada bersama masyarakat N35 Pasir Raja bukan hanya ketika musim pilihan raya, tetapi pada setiap masa melalui gerak kerja kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan dan penyelesaian masalah rakyat.
9. Kepada seluruh ahli, penyokong dan pengundi Perikatan Nasional, kami menyeru agar tidak berputus asa atau menuding jari antara satu sama lain. Marilah kita kekal tenang, memperkukuhkan ukhuwah dan kembali menyusun langkah dengan lebih tersusun, matang dan berstrategi.
10. Semoga segala pengorbanan, sumbangan dan usaha yang telah diberikan diterima sebagai amal kebajikan serta dikurniakan ganjaran dan keberkatan yang berlipat ganda oleh Allah SWT.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
“KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM”
“BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT”
“JOM JAGA JOHOR”
Hasrul Nizam Bin Che Omar
Pemangku Yang Dipertua
PAS Kawasan Tenggara