05/09/2026
LKIM METERAI KERJASAMA STRATEGIK TVET BERSAMA JPK DAN IKBN KUALA PERLIS: PERKASA ANAK NELAYAN MENERUSI PROGRAM ADI PERANTISAN
SERDANG, 4 SEPTEMBER 2026 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini memeterai kerjasama strategik tiga (3) tahun bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) LKIM menerusi kaedah Akademi Dalam Industri (ADI) Perantisan.
Majlis penyerahan dan pemeteraian kerjasama ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil, Pengerusi LKIM, bertempat di Pentas Perikanan, Dewan A, MAEPS Serdang sempena penganjuran MAHA 2026.
Turut hadir menjayakan majlis ini ialah YBhg. Dato' Dr. Haji Abdul Salim bin Haji Tajudin, Ketua Pengarah LKIM; YBhg. Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali, Ketua Pengarah JPK; serta YBrs. Puan Zaliha binti Abu Bakar, Pengarah IKBN Kuala Perlis.
Pengerusi LKIM berkata, program TVET LKIM - ADI Perantisan ini direka khas selaras dengan keputusan Jemaah Lembaga LKIM untuk mentransformasikan pembangunan modal insan sektor perikanan. Fokus utama diberikan kepada bidang penyelenggaraan, servis mekanikal, dan perpaipan marin bagi melahirkan generasi belia serta anak-anak nelayan yang berkemahiran tinggi mengikut piawaian Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
Mengamalkan konsep 'train and place', program ini menggabungkan 20% hingga 30% latihan teori di IKBN Kuala Perlis dan 70% hingga 80% latihan amali praktikal di lapangan. Bagi projek rintis ini, Slipway Kuantan yang dioperasikan oleh PERNEPA Engineering and Maritime Services (PEMS) Sdn. Bhd. (anak syarikat Persatuan Nelayan Negeri Pahang) telah dipilih sebagai lokasi latihan amali bagi memenuhi keperluan industri penyelenggaraan marin tempatan.
Bagi fasa permulaan projek rintis yang dijadualkan bermula November 2026, keutamaan pengambilan diberikan kepada 12 orang belia dan anak nelayan berdaftar dari zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak). Para pelajar bakal menjalani latihan selama 15 bulan bagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 dalam bidang Servis dan Penyelenggaraan Mekanikal serta Perpaipan Marin.
Inisiatif rentas kementerian ini diharapkan dapat mengisi kelompongan tenaga kerja berkemahiran di sektor ini, sekali gus memodenkan industri perikanan negara dan meningkatkan sosioekonomi komuniti nelayan secara mampan.