16/08/2022
TREK MOTO SP BAKAL SIAP DALAM 6 BULAN
SUNGAI PETANI - “Saya bagi tau kepada Dato David Goh, dalam tempoh enam bulan saya nak lumba atas trek ini.”
Demikian cabaran Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang disahut oleh Pengasas dan Penasihat Open Road World Sdn. Bhd. dalam Majlis Pelancaran Kumpulan dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba Permodalan Kedah Berhad (PKB) Open Road SP Circuit Sungai Petani di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri akan menyempurnakan projek yang sudah lama tertangguh ini demi aspirasi anak-anak muda negeri Kedah sekali gus memajukan sukan permotoran negara.
“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan kepada perkembangan yang begitu memberangsangkan dalam sukan permotoran,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan negeri masih berminat dan bersetuju untuk meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkan taraf kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang mana akan dilengkapi dengan komponen lain seperti kawasan komersial, pusat pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan kenderaan.
Tambahnya lagi, Litar Lumba Rakyat yang dinaiktaraf ke Litar Lumba Antarabangsa ini disebabkan litar yang dibina perlu disediakan dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan konduksif serta diselenggara dengan baik.
“Walaupun litar ini nanti lebih bersifat komersial, namun ia juga boleh digunakan oleh rakyat yang berminat dalam sukan permotoran,” beliau memberi jaminan kepada para peminat sukan permotoran.
Menteri Besar memaklumkan bahawa litar ini bakal dilaksanakan di atas tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) seluas 150 ekar termasuk komponen lain yang berkaitan.
Jelasnya, negeri Kedah kini akan mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana kedua-duanya akan dibina dan diuruskan oleh PKB Open Road.