12/08/2026
PDRM ZAHIR KEPRIHATINAN TERHADAP PESARA POLIS TERLANTAR DI HOSPITAL KUALA LIPIS
Kuala Lipis, 12 Ogos 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan pesara polis menerusi Program Lawatan Pengesahan Pesakit Terlantar ke atas Pesara Polis/Bekas Pegawai Polis di Daerah Lipis yang diadakan di Hospital Kuala Lipis, Pahang hari ini.
Lawatan yang berlangsung dari jam 12.50 tengah hari hingga 1.15 petang itu diketuai oleh YDH Supt. Azaidi bin Ab Latib dari Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman bersama pegawai dan anggota Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis Bukit Aman.
Turut hadir mewakili IPD Lipis ialah ASP Mohd Asari bin Sepie, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah merangkap Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Insp Azhar bin Mat, Pegawai HEA/HEPP Lipis, Ustaz Haji Nazri bin Dollah dari BAKA IPD Lipis serta SM (B) Ismail bin Mat Saman, Setiausaha Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Lipis.
Pesara polis yang diziarahi ialah Koperal (B) Marzuki bin Mohamed, berusia 59 tahun, yang pernah bertugas di Cawangan Logistik IPD Kuala Lipis sebelum bersara pada 3 Mei 2022. Beliau kini menghidap penyakit kencing manis dan telah menjalani pembedahan pemotongan kaki kiri.
Dalam lawatan tersebut, pihak PDRM turut menyampaikan sumbangan keperluan asas sebagai usaha membantu meringankan beban pesara dan keluarga. Selain itu, kata-kata semangat dan sokongan turut diberikan agar beliau terus tabah menghadapi ujian serta dikurniakan kesembuhan.
Program ini bertujuan menzahirkan penghargaan dan keprihatinan berterusan PDRM terhadap kebajikan pesara polis, khususnya mereka yang menghidap penyakit kronik atau uzur, selaras dengan komitmen organisasi dalam menjaga kebajikan warga PDRM termasuk selepas tamat perkhidmatan.