17/07/2026
PENGHUNI COHORT 25 TEAM PROGRAMME SAY BERJAYA BERGRADUASI!!
TAHNIAH buat penghuni PUSPEN Sungai Besi atas kejayaan menamatkan program serta bergraduasi daripada TEAM Programme yang diadakan bertempat di Dewan Mustika, PUSPEN Sungai Besi hari ini. Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Selangor Youth Community (SAY).
Pelaksanaan program selama tempoh dua bulan bermula Mei sehingga Julai 2026 telah diisi dengan pelbagai program antaranya Projek Komuniti di Rumah Kasih Harmoni Sungai Buloh, aktiviti Green Element (Food Waste Management: Tree Planting), perkongsian pengalaman oleh rakyat Malaysia keempat berjaya mengelilingi dunia dengan belayar secara solo iaitu Encik Fabian Fernandez, pembelajaran teknik asas komputer, memasak menu masakan melayu, persediaan resume dan kerjaya daripada pihak kerajaan serta swasta dan pelbagai lagi latihan kemahiran yang dilalui oleh peserta.
Melalui program ini, semua peserta telah dapat meningkatkan jati diri, menyubur sikap kesukarelawanan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial. Penglibatan dalam program terutamanya komuniti telah memberi peluang kepada penghuni untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran sosial dan mengaplikasikan nilai-nilai positif apabila kembali ke komuniti.
Majlis Graduasi tersebut disempurnakan oleh Encik Aiman Syafiq Nazri, Ketua Pegawai Eksekutif Team Programme SAY yang menzahirkan ucapan penghargaan kepada PUSPEN atas komitmen yang diberi sepanjang program berlangsung. Mewakili PUSPEN, Encik Herry Bin Micheal, Penolong Pengarah juga memberikan ucapan terima kasih kepada TEAM Programme SAY kerana memberi peluang kepada penghuni sebagai peserta kohort 25 pada kali ini sekaligus membantu kepulihan mereka.
Pihak PUSPEN Sungai Besi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada TEAM Programme SAY atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha kolaboratif seperti ini dapat diteruskan dalam memperkukuhkan proses pemulihan, pembangunan sahsiah dan integrasi sosial klien ke arah kehidupan yang lebih positif, produktif dan bermakna.
Antidadah Kebangsaan Malaysia