28/08/2026
UNIT LAKTASI HOSPITAL ANGKATAN TENTERA TUANKU MIZAN ANJUR SAMBUTAN MINGGU PENYUSUAN SUSU IBU SEDUNIA 2026
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 26 – Unit Laktasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT TM) telah menganjurkan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 bertemakan “Penyusuan Susu Ibu untuk Permulaan Kehidupan Yang Mampan, Perkasakan Apa yang Berkesan”. Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga hospital dan masyarakat mengenai kepentingan penyusuan susu ibu serta membudayakan sokongan terhadap ibu menyusu.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang sambutan, antaranya ceramah dan pameran kesihatan, pertandingan teka silang kata, pertandingan mewarna, TikTok Video Challenge, treasure hunt antara jabatan serta pertandingan bowling. Kemuncak sambutan pada 21 Ogos 2026 berlangsung di Auditorium HAT TM dengan pengisian senamrobik dan Zumba, diikuti majlis perasmian serta pelbagai persembahan.
Program tersebut disertai kira-kira 250 peserta yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat, anggota kesihatan daripada hospital kerajaan dan swasta serta ibu hamil dan para bapa. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh Sparkle Squad dari Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2 serta sketsa “Susu Ibu Anugerah Cinta Teragung” oleh Kumpulan Merpati Putih daripada staf Unit Laktasi Hospital Tunku Azizah.
Turut diadakan sesi perkongsian dan ceramah berkaitan penyusuan susu ibu oleh penceramah jemputan, termasuk Ustazah Asni Mansor, Encik Ng Chee Kai, Puan Elpeni binti Ramli dan Puan Suriayana binti Mohd Said. Mej (Dr) Nur Farhana binti Sabari dan Dr Qamarul Izzat bin Mazlan masing-masing dinobatkan sebagai Ikon Ibu Penyusuan dan Ikon Bapa Penyusuan atas komitmen serta sokongan berterusan terhadap amalan penyusuan susu ibu.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Brigedier Jeneral (Dr) Faridzal Harrymen bin Mohd Din, Pegawai Memerintah HAT TM. Program ini berjaya dilaksanakan hasil komitmen dan kerjasama warga kerja serta Jawatankuasa Unit Laktasi HAT TM yang diketuai oleh Kol (Dr) Hamiza binti Hassan, Pengerusi Unit Laktasi. Penganjuran ini turut mencerminkan komitmen HAT TM dalam mengekalkan pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi sejak tahun 2016 serta memperkukuh sistem sokongan penyusuan susu ibu yang lestari.