17/08/2026
PROGRAM CEIO SIRI 46 PERKASA LITERASI URUS NIAGA TANAH, PERKUKUH INTEGRITI PENTADBIRAN NEGERI KELANTAN
Kota Bharu, 17 Ogos – Projek Pemerkasaan Governans dan Integriti (GIEP) menerusi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 46 Bil. 2/2026 Sektor Awam SUK Kelantan diteruskan dengan penganjuran Seminar Literasi Urus Niaga Tanah sebagai kesinambungan kepada Klinik Literasi Urus Niaga Tanah yang dilaksanakan di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Kota Bharu pada 16 Ogos 2026.
Seminar yang berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, melibatkan seramai 150 peserta terdiri daripada Penolong Ketua Jajahan, Penggawa dan Penghulu di Kota Bharu.
Sesi dimulakan dengan ceramah oleh Pengarah Pengurusan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Putrajaya, Jaiya Abu, bertajuk “Isu Integriti dalam Proses Pemberimilikan Tanah, Pendaftaran Hak Milik dan Urus Niaga Tanah serta Pengambilan Tanah”.
Sesi berkenaan memberi pendedahan berkaitan isu integriti dalam pengurusan dan pentadbiran tanah, khususnya aspek pemberimilikan, pendaftaran hak milik, urus niaga serta pengambilan tanah.
Program diteruskan dengan Forum Memperkasa Integriti Melalui Literasi Urus Niaga Tanah yang dikendalikan oleh Penolong Pengarah Perundangan II, Bahagian Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (BAHUU), SUK Kelantan, Mohd Syazwan Muhsin Negara selaku moderator, bersama dua ahli panel iaitu Jaiya Abu dan Ketua Jajahan Pasir Mas,Fazrul Azan Basari.
Penganjuran seminar dan forum ini bertujuan menyampaikan maklumat yang tepat serta terkini berkaitan pengurusan dan pentadbiran tanah kepada Penolong Ketua Jajahan, Penggawa dan Penghulu untuk seterusnya disampaikan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
Penglibatan Penggawa dan Penghulu sebagai Integrity Rider (IR) turut menjadi elemen penting dalam usaha memperluas penyampaian maklumat berkaitan literasi urus niaga tanah kepada masyarakat.
Peranan tersebut diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan risiko penipuan, kesilapan dan ketidakpatuhan dalam urusan berkaitan tanah.
Dalam perkembangan sama, seminar tersebut turut menjadi sebahagian daripada Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 46 Bil. 2/2026 Sektor Awam SUK Kelantan yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Haji Aze Rahimee Haji Mohamed, yang hadir mewakili Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh agenda integriti, governans dan tatakelola, khususnya melalui pembangunan kompetensi serta pengupayaan pegawai yang berperanan sebagai pemangkin integriti dalam organisasi dan komuniti.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Sijil Pelantikan Integrity Rider (IR) secara simbolik kepada peserta yang dilantik. Sijil yang ditandatangani oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan itu menjadi tanda kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap peranan Penggawa dan Penghulu untuk menyampaikan maklumat berkaitan urus niaga tanah yang tepat, terkini dan berkesan kepada masyarakat.
Pelaksanaan GIEP melalui Program CeIO ini memperlihatkan pendekatan pendidikan dan pencegahan yang menggabungkan pembangunan kompetensi peserta dengan intervensi secara langsung kepada masyarakat.
Pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta mengenai integriti dan governans, malah memperluas peranan mereka sebagai penyampai maklumat dan pemudah cara kepada masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengarah,Pengurusan dan Korporat MACA SPRM, KPKPj Mohd Shahrul Nizar Mohd Shariff; Pengarah SPRM Kelantan, KPKPj Azmin Yusoff; Pengarah Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Pejabat SUK Kelantan, Nik Khairul Anuar Nik Yusoff; urus setia Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) MACA serta wakil jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan Negeri Kelantan.