03/08/2026
Mungkin Allah SWT sedang membuka ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan realiti sepanjang tiga tahun ini, rakyat berpeluang melihat sendiri his true colors. Di manakah janji-janji yang pernah ditawarkan? Apakah p**a pencapaian yang benar-benar boleh dibanggakan? Jika peluang untuk menilai berdasarkan pengalaman ini tidak berlaku, barangkali masih ramai yang menganggap beliau merupakan pilihan terbaik untuk memimpin negara.
Di Sabah, DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya, termasuk enam kerusi DUN yang sebelum ini disandang parti berkenaan. Di Johor p**a, Pakatan Harapan menerima keputusan yang teruk dengan mesej yang jelas daripada rakyat. Manakala di Negeri Sembilan, PH kini memasuki DUN tanpa seorang pun wakil Melayu.
Berdasarkan perkembangan tersebut, sebahagian penganalisis politik berpendapat bahawa kemerosotan sokongan itu lebih banyak dikaitkan dengan penilaian terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wajah utama kerajaan dan kempen, berbanding penolakan yang tertumpu kepada DAP atau PKR semata-mata.
Tahun ini dijangka menjadi tahun Pilihan Raya Umum. Ramai pihak membuat jangkaan sedemikian, namun tiada siapa yang benar-benar mengetahui bila tarikhnya. Kuasa untuk menasihati pembubaran Parlimen merupakan prerogatif Perdana Menteri, manakala pembubaran dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut lunas Perlembagaan.
Terdapat juga tulisan dan ulasan daripada sebahagian penyokong kerajaan sendiri yang mendakwa bahawa jika Parlimen dibubarkan pada tahun ini, PKR akan mengalami kekalahan. Jika ditangguhkan hingga tahun hadapan, kekalahan itu dikatakan mungkin lebih besar lagi. Saya hanya menyampaikan semula pandangan yang sedang diperkatakan.
Perkembangan politik semasa turut menarik perhatian. Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan pada 16 Ogos dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju dan kedudukannya dalam Kerajaan MADANI. Pada masa yang sama, timbul juga spekulasi bahawa UMNO mungkin menarik diri daripada kerajaan. Sekiranya perkembangan tersebut benar-benar berlaku, landskap politik negara dijangka berubah dengan ketara dan sudah tentu akan mempengaruhi pertimbangan politik menjelang Pilihan Raya Umum.
Yang lebih penting ialah persiapan kita. Bila-bila masa Parlimen dibubarkan, kita mesti sentiasa bersedia. Lazimnya, Parlimen dibubarkan sebelum mencapai tempoh maksimum lima tahun. Dalam sejarah Malaysia, hanya sekali Parlimen hampir melengkapkan penggal penuh lima tahun sebelum dibubarkan, iaitu ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU14.
Sewaktu berucap di Padang Serai semalam, saya menyebut bahawa dalam konteks Kedah, kita mesti memastikan semua kerusi yang dimenangi dapat dikekalkan, di samping berusaha menambah kemenangan di kerusi-kerusi lain bagi memperkukuhkan kedudukan. Persiapan ini penting kerana PAS membawa cita-cita untuk memimpin Putrajaya.
Mengapa apabila bercakap tentang PRU, nama PAS semakin kerap disebut? Ramai penganalisis politik melihat PAS sebagai antara parti yang berpotensi membentuk Kerajaan Persekutuan pada masa hadapan, sama ada disukai atau tidak. Pandangan itu bukan sahaja datang daripada penyokong PAS, malah turut diperkatakan oleh sebahagian pihak yang tidak bersama kita. Bagi mereka, persoalannya bukan lagi sama ada PAS mampu ke Putrajaya, tetapi bila ia akan berlaku.
It is a matter of time.
Rakyat telah melihat pelbagai parti mentadbir negara. Barisan Nasional pernah memerintah lebih enam dekad dengan pelbagai jasa kepada pembangunan negara, namun akhirnya ditolak oleh rakyat. Pakatan Harapan p**a kini boleh dinilai prestasinya oleh rakyat. Banyak harapan rakyat yang belum dipenuhi serta janji pilihan raya yang masih belum ditunaikan.
Sebab itu, parti dan jentera di setiap negeri mesti terus diperkukuhkan kerana negeri-negeri inilah asas kepada perjalanan menuju Putrajaya.
Ada yang berpendapat bahawa sekiranya PAS dan UMNO mencapai kerjasama lebih awal pada PRU yang lalu, Pakatan Harapan mungkin tidak dapat membentuk Kerajaan Persekutuan. Hari ini, usaha membina persefahaman masih berada pada peringkat awal. Negeri Sembilan menjadi medan ujian. Jika semua pihak benar-benar ikhlas, mengetepikan kepentingan sempit dan mengutamakan kepentingan ummah, insya-Allah jalan menuju Putrajaya akan menjadi lebih terbuka.
Ada yang mengatakan PAS tidak tetap pendirian. Sekejap bergaduh, kemudian bekerjasama, selepas itu berbeza pendirian semula, dan kini kembali mewujudkan persefahaman. Dengan DAP juga pernah berlaku keadaan yang sama, iaitu pernah bekerjasama dan pernah berpisah.
Pendirian PAS ditentukan oleh Perlembagaan PAS. Dasarnya ialah Islam dan matlamat perjuangannya juga Islam. Segala keputusan kepimpinan, pendekatan dan strategi ditentukan bagi mencapai cita-cita perjuangan Islam. Selagi tidak bercanggah dengan prinsip tersebut, PAS akan bergerak mengikut suasana dan perkembangan semasa demi menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu. Oleh itu, ahli dan penyokong tidak perlu keliru dengan perubahan strategi politik yang diambil.
PAS pernah menyertai Barisan Nasional selepas peristiwa 13 Mei 1969. Secara rasminya, PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1973 sebelum menjadi anggota Barisan Nasional, dan dalam Pilihan Raya Umum 1974, PAS bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional. Ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, jawatan yang disandangnya dari tahun 1968 hingga 1995. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan politik ketika itu yang, menurut penilaian kepimpinan PAS, dilihat sebagai langkah demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.
Di Johor, walaupun kita kehilangan satu-satunya kerusi, kerajaan yang diterajui parti Melayu Islam kekal kukuh dengan kemenangan besar UMNO. Di Negeri Sembilan p**a, kita berjaya merampas beberapa kerusi daripada PH sehingga kedudukan DAP dilihat semakin lemah berbanding sebelum ini.
Dalam strategi politik, sebagaimana permainan dam, kadangkala kita sengaja memberi satu buah untuk dimakan kerana mempunyai perancangan yang lebih besar. Orang yang tidak memahami strategi mungkin menyangka kita rugi, sedangkan matlamat sebenar ialah memperoleh kemenangan yang lebih besar pada akhirnya.
Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah juga memberikan pengajaran yang besar. Rasulullah SAW bersetuju dengan beberapa syarat yang pada zahirnya kelihatan memihak kepada Quraisy. Antaranya, gelaran Rasulullah tidak ditulis dalam teks perjanjian, sebaliknya hanya nama Muhammad bin Abdullah. Keputusan itu menyebabkan sebahagian sahabat berasa berat hati. Selepas perjanjian dimeterai, para sahabat juga pada mulanya teragak-agak untuk bertahalul sehingga Rasulullah SAW sendiri memulakan dengan mencukur rambut baginda, lalu mereka mengikutinya tanpa bantahan. Hikmah daripada pendekatan tersebut akhirnya terserlah apabila perjanjian itu membuka ruang kepada perkembangan dakwah Islam, yang akhirnya membawa kepada Pembukaan Kota Makkah.
Insya-Allah, usaha yang sedang kita lakukan hari ini akan menjadi permulaan yang baik menuju Putrajaya. Teruskan bekerja, kukuhkan organisasi dan berikan keyakinan kepada pimpinan.