16/06/2026
SESI PERBINCANGAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA MAJLIS AIDS MALAYSIA (MAC)
15 Jun 2026 / 29 Zulhijjah 1447H (Isnin)
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Unit โIlaj & Rawatan Fizikal, Cawangan โIlaj Home, Bahagian Pengurusan Dakwah telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Majlis AIDS Malaysia (MAC), sebuah organisasi yang berperanan menyokong dan menyelaras usaha badan bukan kerajaan serta pelbagai pihak yang terlibat dalam isu HIV/AIDS di Malaysia.
Sesi perbincangan ini diketuai oleh Puan Norhayati binti Zainudin selaku Penguasa โIlaj Home bersama delegasi MAC yang terdiri daripada Encik Yusralhakim bin Yusoff, Pengarah Program dan Puan Noor Zahra binti Zamalik, Pengurus Kanan Perhubungan Strategik & Kelestarian.
Perbincangan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan sumber yang tersedia. Melalui kerjasama strategik yang dirancang, akses Orang Dengan HIV/AIDS (ODHA) kepada pelbagai perkhidmatan sokongan seperti kaunseling, bantuan kebajikan, pendidikan kesihatan dan program pembangunan diri dapat dipertingkatkan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Selain itu, pelaksanaan program secara kolaboratif dijangka memberi manfaat kepada klien dari aspek fizikal, psikologi, sosial dan kerohanian. Program-program yang dirancang turut berpotensi meningkatkan pengetahuan, kemahiran hidup serta motivasi klien dalam meneruskan rawatan dan proses pemulihan secara berterusan.
Pengukuhan jaringan sokongan komuniti melalui penglibatan pelbagai agensi dan organisasi berkaitan juga dilihat mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, inklusif dan menyokong kesejahteraan ODHA. Sokongan berterusan ini penting dalam membantu mereka mengekalkan kepatuhan terhadap rawatan, meningkatkan kualiti hidup serta memudahkan proses reintegrasi sosial ke dalam masyarakat.
Di samping itu, aspek pencegahan HIV/AIDS turut dijangka dapat diperkasakan melalui pelaksanaan program pendidikan kesihatan, advokasi dan kempen kesedaran kepada komuniti sasaran. Inisiatif ini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kaedah pencegahan HIV, mengurangkan salah faham dan stigma terhadap ODHA serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan tingkah laku berisiko rendah. Penyebaran maklumat yang tepat dan berterusan juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan saringan awal, rawatan segera dan pematuhan terhadap rawatan, sekali gus menyumbang kepada usaha mengurangkan penularan jangkitan HIV dalam komuniti.
Semoga perbincangan ini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih mantap dan berimpak tinggi dalam memperkasa usaha pencegahan, rawatan, pemulihan serta sokongan kepada ODHA demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.