Maktabah Al Buwaiti

Maktabah Al Buwaiti Mari Mentadabbur Al Quran bersama Maktabah Tafsir Al Buwaiti.

Dapatkan setiap penulisan yang dihasilkan oleh Ad Dhoiful Faqir Akmal Hakimi (Graduan Pondok DUAI, Melaka) yang menghimpunkan tafsir ulama silam dan Kontemporari daripada sumber yang sahih🌹

𝐊𝐞𝐰𝐚𝐣𝐢𝐩𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐦𝐩𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐁𝐞𝐫𝐚𝐭 𝐭𝐞𝐫𝐡𝐚𝐝𝐚𝐩 𝐈𝐥𝐦𝐮 𝐅𝐢𝐪𝐡 𝐉𝐮𝐚𝐥 𝐁𝐞𝐥𝐢.Memberi perhatian terhadap hukum-hakam muamalat k...
23/07/2026

𝐊𝐞𝐰𝐚𝐣𝐢𝐩𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐦𝐩𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐁𝐞𝐫𝐚𝐭 𝐭𝐞𝐫𝐡𝐚𝐝𝐚𝐩 𝐈𝐥𝐦𝐮 𝐅𝐢𝐪𝐡 𝐉𝐮𝐚𝐥 𝐁𝐞𝐥𝐢.

Memberi perhatian terhadap hukum-hakam muamalat kewangan adalah sebahagian daripada usaha memahami agama Allah Taala dan menyampaikannya kepada manusia.

Disebut dalam kitab Kasyful Qina' (3/145), ketika menjelaskan kepentingan mengetahui hukum-hakam jual beli:

"Ilmu ini termasuk perkara yang sepatutnya diberikan perhatian yang besar kerana ia melibatkan kebanyakan manusia. Hampir tiada seorang mukallaf pun yang terlepas daripada urusan jual beli. Oleh itu, wajib mengetahui hukum syarak mengenainya sebelum terlibat dengannya. Bahkan, sebahagian ulama menukilkan ijmak bahawa tidak harus bagi seseorang mukallaf melakukan sesuatu perbuatan sehingga dia mengetahui hukum Allah mengenainya. Saidina Umar ra pernah mengutus orang untuk mengeluarkan dari pasar sesiapa yang bukan ahli fiqh."

Oleh sebab itu, seorang Muslim yang menjalankan urusan jual beli tanpa mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengannya boleh terjerumus ke dalam perkara yang haram.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah ﷺ keluar menuju tempat solat, lalu Baginda melihat orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda:

"Wahai para peniaga!"

Mereka segera memberikan perhatian kepada Baginda dan mengangkat kepala memandang Baginda. Lalu Baginda bersabda:

"Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang-orang yang berdosa, kecuali mereka yang bertakwa, berbuat baik dan berlaku jujur."

Disebut dalam kitab al-Madkhal karya Ibn al-Hajj:

"Saidina Umar bin al-Khattab رضي الله عنه pernah memukul dengan cemeti sesiapa yang duduk berniaga di pasar sedangkan dia tidak mengetahui hukum-hakam fiqh. Beliau berkata:

'Jangan biarkan seseorang berniaga di pasar kami jika dia tidak mengetahui hukum riba,'

atau ucapan yang seumpamanya.

Imam Malik juga memerintahkan supaya para peniaga yang tidak mengetahui hukum-hakam syarak dikeluarkan dari pasar agar mereka tidak memberi makan (iaitu melibatkan) orang ramai dengan riba."

Beliau juga berkata:

"Aku mendengar guruku, Sidi Abu Muhammad, menceritakan bahawa beliau pernah menyaksikan di Maghribi seorang muhtasib (pegawai penguat kuasa pasar) berjalan dari satu pasar ke satu pasar. Beliau berhenti di setiap kedai lalu bertanya kepada pemiliknya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan barang dagangannya, dari sudut bagaimana riba boleh berlaku padanya dan bagaimana cara mengelakkannya. Jika peniaga itu dapat menjawab, beliau membiarkannya terus berniaga. Tetapi jika dia jahil tentang mana-mana perkara tersebut, beliau mengeluarkannya dari kedai sambil berkata:

'Kamu tidak layak berniaga di pasar orang Islam sedangkan kamu boleh menyebabkan orang ramai memakan riba atau melakukan perkara yang tidak diharuskan."

Para fuqaha kita telah memberikan perhatian yang sangat besar terhadap bab-bab muamalat. Mereka membina asas-asasnya dan merumuskan kaedah-kaedah umum yang menjadi panduan, sehingga seseorang dan para penuntut ilmu dapat menjadikannya sebagai asas untuk memahami pelbagai bentuk urus niaga.

Malah, para fuqaha turut membincangkan bentuk-bentuk transaksi yang belum berlaku pada zaman mereka, supaya apabila ia benar-benar muncul pada masa hadapan, para penuntut ilmu sudah mempunyai kefahaman dan persediaan untuk menilai hukumnya.

Oleh sebab itu, hampir tidak ada sebuah kitab fiqh melainkan terdapat bahagian khusus yang membincangkan hukum-hakam muamalat.

Rujukan: Kitab Ahkam Uqud At Tamwil Fil Fiqhi Islami

24/06/2026
08/11/2025

Maktabah Tafsir Al Buwaiti

Alhamdulilah, segala puji bagi Allah Swt yang telah menurunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, serta cahaya yang membimbing akal dan hati menuju kebenaran.

Dengan penuh kesyukuran kepada Allah Swt, saya Ad Dhoif Al Faqir Akmal Hakimi bin Rahman, Graduan Syariah Islamiyyah dan Dauratul Hadis Pondok DUAI, mempersembahkan sebuah projek ilmiah baharu yang dinamakan dengan: Maktabah Tafsir Al Buwaiti.

Asal tercetusnya Projek Ilmiah ini lahir daripada satu hasrat peribadi, iaitu untuk mengkhatamkan pembacaan tafsir 30 juzuk yang menjadi satu kewajipan untuk disempurnakan oleh setiap penuntut ilmu.

Namun, ketika menelusuri lembaran demi lembaran tafsir dan berpindah dari satu kitab ke kitab tafsir yang lain, timbul satu kerisauan iaitu hilangnya mutiara-mutiara tafsir yang berharga itu akibat lupa dan kelemahan diri.

Ketika kerisauan dan kebimbangan ini terus menerus menghantui diri, teringat Ad Dhoif pesanan Imam Syafie di dalam Diwannya:

العلم صيد والكتابة قيده, قيد صيودك بالحبال الواثقة
فمن الحماقة أن تصيد غزالة, وتتركها بين الخلائق طالقة

Ilmu adalah buruan dan penulisan ialah ikatannya. Ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat.
Sungguh bodoh jika engkau memburu kijang, lalu membiarkannya terlepas begitu sahaja.

Maka, lahirlah Projek Ilmiyyah: Maktabah Tafsir Al Buwaiti , sebuah ruang kecil dan usaha untuk mengikat buruan ilmu daripada lautan tafsir yang luas agar tidak hilang daripada ingatan.

Insya-Allah, melalui projek ini, Ad-Dhoif akan berusaha menghadirkan penulisan tafsir yang bersumber daripada wadah-wadah yang sahih, bernuansa ilmiah, serta berpaksikan gaya penyampaian yang mudah difahami dan ringkas.

Sebagai tambahan, pendekatan pentafsiran yang diketengahkan ialah tafsir bertemakan topik, dengan memberi fokus kepada isu-isu yang relevan dan menarik dalam konteks kehidupan masa kini. Melalui gaya ini, diharapkan al-Quran dapat dihayati bukan sahaja sebagai teks yang dibaca, tetapi sebagai petunjuk yang hidup dan terus berbicara dan dapat diaplikasikan dengan realiti umat.

Akhir kalam, dengan penuh rendah hati, Ad-Dhoif memohon doa dan restu daripada para asatizah serta sahabat-sahabat,
Moga Allah memberkati setiap ilmu yang telah diajarkan, menjadikannya cahaya yang terus membimbing langkah ini serta menganggap usaha kecil ini sebagai sambungan kepada rantaian ilmu para guru (Hafizahumullah Ta'ala).
Semoga doa kalian menjadi sebab terlimpahnya taufiq dan istiqamah daripada Allah Swt dalam meneruskan Projek Ilmiah: Maktabah Tafsir Al Buwaiti, agar ia tumbuh sebagai amal yang bermanfaat dan membawa kebaikan kepada ummah.

والله المستعان، وعليه التكلان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Address

Kampung Padang Balang, Sentul
Kuala Lumpur
51100

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Maktabah Al Buwaiti posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share

Category