12/06/2026
MENTERI BESAR SELANGOR SEMPURNAKAN MAJLIS PEMBUKAAN OPERASI LOJI SISA-KE-TENAGA 1, JERAM
YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor telah menyempurnakan Majlis Pembukaan Operasi Loji Sisa-Ke-Tenaga 1 (WTE) Jeram yang berlangsung di Jeram, Kuala Selangor pada 12 Jun 2026. Loji ini merupakan sebuah kemudahan moden yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal serta menyokong agenda pembangunan mampan Negeri Selangor.
Loji Sisa-Ke-Tenaga 1, Jeram merupakan antara projek berimpak tinggi yang memanfaatkan teknologi terkini untuk menukarkan sisa pepejal kepada tenaga elektrik. Pelaksanaan projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah, malah menyumbang kepada pengurangan penggunaan tanah bagi tujuan pelupusan serta meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal secara lebih lestari.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato' Ng Suee Lim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, serta YBrs. Tuan Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor.