12/06/2025
|| YANG DAH PERGI, HORMATI MEREKA – BUKAN MASA UNTUK MENGHUKUM ||
Democratic Student Alliance (DSA) menggesa agar semua pihak lebih sensitif dan berempati dalam mengulas insiden kemalangan yang melibatkan mahasiswa UPSI baru-baru ini.
Kenyataan tidak beretika oleh seorang individu bergelar pendidik, yang mempertikaikan pemergian mangsa dengan mengatakan mereka “pergi dalam keadaan tidak baik”, adalah amat tidak wajar dan menyakitkan hati banyak pihak, terutamanya keluarga mangsa.
Sebagai warga pendidik, seseorang itu seharusnya lebih berhati-hati dalam menzahirkan pandangan dan apatah lagi dalam isu melibatkan kehilangan nyawa. Ungkapan sedemikian tidak hanya tidak berasas, tetapi juga mencerminkan kegagalan memahami adab sosial dan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
DSA turut menegaskan bahawa menurut pandangan jumhur ulama, pemergian akibat kemalangan ketika menuntut ilmu dikategorikan sebagai mati syahid dan ia merupakan satu bentuk kemuliaan, bukan penghinaan.
Sehubungan itu, DSA menggesa pihak berwajib seperti JPN dan KPM agar mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap individu terbabit demi menjaga nama baik institusi pendidikan serta emosi ahli keluarga yang sedang berduka.
Kami berdiri teguh bersama keluarga mangsa dan seluruh mahasiswa dalam saat sukar ini.