22/12/2025
16 DISEMBER 2025 (Selasa) – Unit Integriti dan Governans Kumpulan PMINT dengan kerjasama Bahagian Integriti PMINT telah menganjurkan Program Ceramah Kesedaran Gangguan Seksual di Tempat Kerja: “Gurauan atau Jenayah?” sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja terhadap isu gangguan seksual di persekitaran kerja.
Ceramah ini telah disampaikan oleh Inspektor Nur Aliya Batrisya binti Abdullah, Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu.
Program ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Abdul Hadi bin Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, barisan Pengurus Besar Anak Syarikat PMINT, serta Pengurus Bahagian Integriti PMINT, Cik Norhaslida binti Deraman, dan seterusnya melibatkan penyertaan wakil kakitangan anak syarikat PMINT, sekali gus mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi dan seluruh warga kerja dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan berintegriti.
Sepanjang sesi ceramah, penceramah telah menerangkan secara terperinci mengenai takrifan dan bentuk-bentuk gangguan seksual di tempat kerja, perbezaan antara gurauan yang sering disalah anggap sebagai perkara biasa dengan perlakuan yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah, serta implikasi undang-undang dan kesan terhadap mangsa serta organisasi. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan tanggungjawab bersama dalam mencegah dan melaporkan sebarang perlakuan tidak wajar di tempat kerja.
Unit Integriti dan Governans Kumpulan PMINT akan terus komited dalam memperkukuh kesedaran integriti serta mempromosikan persekitaran kerja yang profesional, selamat dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan seksual.