30/08/2022
UCAPAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022
PRESIDEN DESIGNATE PARTI BANGSA MALAYSIA
“KELUARGA MALAYSIA, TEGUH BERSAMA”
Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada tahun ini.
Hakikatnya, kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini adalah satu perjuangan berterusan yang wajib dipertahankan oleh setiap anak watan.
Dewasa ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya dari segi politik, ekonomi dan juga pembangunan sosial, yang mana ianya boleh diatasi dengan usaha dan semangat perpaduan dari kalangan seluruh rakyat Malaysia.
Negara kita memerlukan satu kebangkitan semula melalui agenda "reset" bagi meletakkan kembali Malaysia di landasan kegemilangan.
Tema "Keluarga Malaysia, Teguh Bersama" bagi sambutan pada tahun ini diharap dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan penyatuan seluruh rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Kejayaan sesebuah negara itu bergantung kepada iltizam rakyatnya, yang mana kita secara kolektif harus sentiasa berusaha dengan lebih jitu untuk memajukan Malaysia yang kita cintai.
Pada ketika ini, adalah wajar bagi kita semua untuk memberikan fokus kepada isu-isu penting, terutamanya yang melibatkan kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya tanpa mengira bangsa, agama dan status ekonomi.
Parti Bangsa Malaysia akan terus memperjuangkan agenda pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan, pemerkasaan anak muda, pemberdayaan wanita, kemajuan sains & teknologi, serta penglibatan pelbagai kaum sebagai misi utama kami dalam usaha untuk membentuk Malaysia yang lebih cemerlang.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang diberkati, bagi manfaat generasi pada hari ini dan akan datang.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-65!
"Keluarga Malaysia, Teguh Bersama"
"Jom Reset"
YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Presiden Designate
Parti Bangsa Malaysia
🖐