12/08/2026
MESYUARAT JAWATANKUASA PENYELARASAN TEKNIKAL BIL.3/2026 PERINGKAT LAPORAN DRAF, RANCANGAN KAWASAN KHAS (RKK) PELANCONGAN REKREASI PANTAI TELUK LIPAT,
DAERAH DUNGUN, TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos 2026 β Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Teknikal Bil.3/2026 bagi peringkat Laporan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pelancongan Rekreasi Pantai Teluk Lipat, Daerah Dungun, Terengganu telah diadakan dengan jayanya.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Perancangan), PLANMalaysia Terengganu, Puan Asfazilah binti Samad, mewakili Pengarah PLANMalaysia Terengganu. Kehadiran turut melibatkan Pengarah Pejabat Projek Zon Timur (PPZR), PLANMalaysia, pihak Majlis Perbandaran Dungun serta wakil Pejabat Daerah Dungun. Selain itu, mesyuarat turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah bagi memastikan penyelarasan teknikal yang menyeluruh, bersepadu dan berkesan.
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk meneliti, menyemak serta memperhalusi Laporan Draf yang disediakan oleh pihak perunding, ZMZ Planning Consultant, dengan memberi penekanan kepada hala tuju pembangunan, kebolehlaksanaan cadangan, keutamaan projek, daya tahan kawasan pesisir serta mekanisme pelaksanaan dan penyelenggaraan.
Melalui sesi perbincangan yang konstruktif dan komprehensif, pelbagai pandangan serta ulasan teknikal telah dikemukakan oleh agensi terlibat bagi memastikan cadangan pembangunan yang dirangka adalah realistik, berdaya laksana, beridentiti dan responsif terhadap persekitaran pesisir, di samping memberi manfaat kepada komuniti dan ekonomi setempat.
Hasil perbincangan mesyuarat akan diperincikan oleh pihak perunding bagi memperkemaskan Laporan Draf sebelum diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Terengganu untuk pertimbangan dan kelulusan, seterusnya melalui proses publisiti dan penyertaan awam.