23/07/2026
MAJLIS PENUTUPAN LDP MENCARI DAN MENYELAMAT PERINGKAT BATALION 7 PGA TAHUN 2026
Maran, 17 Julai 2026 - Bermula 15 Julai 2026 sehingga 17 Julai 2026 telah berlangsungnya latihan simulasi akhir fasa 2 dan Majlis Penutupan Latihan Dalam Perkhidmatan Mencari dan Menyelamat Peringkat Batalion 7 PGA Tahun 2026 bertempat di Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Maran Pahang.
Fasa 2 merupakan latihan simulasi akhir yang dinamakan "Op Siswa" melibatkan kekuatan seramai 49 Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis dari Batalion 7 PGA. "Op Siswa" merupakan operasi mencari dan menyelamat 2 orang pelajar dari UITM Jengka, Pahang yang telah hilang ketika membuat aktiviti riadah di kawasan Air Terjun Jeram Pelangi, Kuala Sentul, Maran Pahang. Bagi latihan akhir Tindakan Mengendalikan Mangsa, Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Supt. Davidson a/l Tanggapan hadir secara dekat dan turut mengharungi muka bumi hutan dan sungai bersama peserta LDP sehingga selesai. Inspektor Muhammad Izzat bin Ismail, Platun Komander Platun 3 Kompeni 'A' Batalion 7 PGA sebagai Ketua Operasi telah menyampaikan taklimat balas kepada Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA mengenai "Op Siswa" yang telah dijalankan.
Bagi fasa 1 Latihan Dalam Perkhidmatan ini telah dijalankan di Batalion 7 PGA bermula 7 Julai 2026 sehingga 13 Julai 2026 merangkumi Latihan Jasmani, Ronda Pandu Arah, Pengendalian Bilik Gerakan, Pengendalian Set Komunikasi dan Komplan, Protokol Mencari dan Menyelamat, Pertolongan Cemas, Teknik Usungan, Orientasi Peta, Penggunaan GPS serta Tindakan Mengendalikan Mangsa.
Majlis Penutupan Latihan Dalam Perkhidmatan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA. Dalam ucapan penutupan latihan ini, Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA telah mengingatkan kepada semua Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis Batalion 7 PGA perlulah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan untuk mencapai sasaran latihan selaras dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM yang sentiasa mengutamakan keselamatan pasukan dan orang awam dalam misi menyelamat. Selain itu, medium latihan seumpama ini harus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kecekapan, kemahiran dan kesiapsiagaan pegawai dan anggota berada pada tahap terbaik khususnya dalam melaksanakan tugas dilapangan.
Turut hadir bersama di dalam majlis ini, Kompeni Komander Kompeni A, ASP Azahar bin Ag. Sulaiman, Kompeni Komander Kompeni C, ASP Siau Siau Sang dan Pegawai-pegawai Kanan Polis Batalion 7 PGA.
Unit Media Batalion 7 PGA