17/08/2026
PEMUDA PAS PAHANG LULUS USUL TUBUH AKADEMI KEWANGAN PEMUDA SEBAGAI PERSIAPAN TERAJU PAHANG
Alhamdulillah, satu lagi langkah penting telah digerakkan oleh Dewan Pemuda PAS Pahang sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-44 yang bertemakan:
“UMMAH BERSATU, PAHANG KITA TERAJU”
Muktamar telah meluluskan satu usul yang cukup strategik, iaitu penubuhan Akademi Kewangan Pemuda PAS Pahang sebagai platform memperkukuh kompetensi, integriti dan keupayaan anak muda dalam mengurus kewangan organisasi serta mempersiapkan barisan kepimpinan masa hadapan.
Usul ini telah dibentangkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang Saudara Ahmad Azlan Abu Bakar CA(M), dengan melihat bahawa agenda *Teraju Pahang* bukan sekadar soal memenangi pilihan raya, tetapi turut menuntut kesiapsiagaan dari sudut pengurusan, tadbir urus dan kewangan yang mantap.
Kita mahu Pemuda PAS Pahang bukan sahaja mempunyai semangat perjuangan, tetapi juga mempunyai ilmu, kemahiran dan disiplin pengurusan untuk memikul amanah yang lebih besar.
Akademi ini dicadangkan sebagai medan untuk melahirkan kader-kader muda yang memahami asas pengurusan kewangan, perancangan bajet, kawalan dalaman, dokumentasi, pematuhan, tadbir urus serta pengurusan entiti secara lebih profesional dan sistematik.
Kita sedang membina Pemuda sebagai “government in waiting”.
Maka, persediaan mesti dilakukan dari sekarang.
Jika kita bercita-cita untuk menerajui Pahang, kita mesti bersedia untuk mengurus Pahang.
Jika kita mahu diberikan amanah mengurus negeri, kita mesti terlebih dahulu membuktikan bahawa kita mampu mengurus organisasi dengan amanah, cekap, telus dan profesional.
Inilah wajah Pemuda PAS Pahang yang ingin kita bina — berideologi, berintegriti, berilmu dan berkeupayaan.
UMMAH BERSATU, PAHANG KITA TERAJU.
Insya-Allah, daripada Pemuda yang bersedia hari ini, akan lahir kepimpinan yang bersedia menerajui Pahang esok.