13/08/2026
OP KHAZANAH : KILANG KAYU HARAM DISERBU
Pasukan Risik Batalion 9 PGA telah menjalankan serbuan di sebuah premis kilang pemprosesan kayu di Jalan Sungai Tong, Gerdong, Kuala Berang, Terengganu pada 12 Ogos 2026 kira-kira jam 1.00 petang. Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berada di lokasi manakala pihak pengurusan premis gagal mengemukakan dokumen atau lesen yang sah berkaitan operasi kilang dan kayu-kayu yang disimpan.
Dalam serbuan tersebut pelbagai peralatan dan hasil kayu telah dirampas termasuk sebuah mesin Band Saw, enam Cross Cut Blade, mesin pengasah, kompresor angin, sebuah jentera berat jenis Shovel, sebuah lori serta 68 batang kayu bulat dan 73 batang kayu jaras. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM640,510.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Hasil rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan kayu menggunakan pelbagai jenis dan saiz kayu bulat yang tidak bercukai serta tanpa lesen yang sah. Pemilik kilang dipercayai mengendalikan operasi tanpa mematuhi syarat lesen dan peraturan ditetapkan, manakala urusan pembelian kayu dipercayai dilakukan melalui orang tengah atau *runner* dengan bayaran secara tunai tanpa rekod rasmi. Tindakan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras penyalahgunaan permit, aktiviti pembalakan haram serta pencerobohan terhadap khazanah Hutan Simpan, khususnya di Negeri Terengganu.
Batalion 9 Pasukan Gerakan Am
Pasukan Gerakan Am - PGA