20/05/2026
KENYATAAN MEDIA
YB CHAN CHUN KUANG JANGAN JADI “DURI DALAM DAGING” DALAM PARTI KEADILAN RAKYAT
Tindakan YB Chan Chun Kuang mengeluarkan kenyataan media yang dilihat menyerang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, saudara Kamil Munim, amat mengecewakan dan tidak mencerminkan semangat solidariti dalam parti.
Sebagai seorang ADUN yang menang atas tiket PKR serta memegang jawatan Naib Ketua Cabang Indera Mahkota, beliau sepatutnya mempertahankan pendirian parti dan memperkukuh perpaduan dalaman, bukannya mengeluarkan kenyataan yang memberi peluru kepada musuh politik untuk menyerang kepimpinan PKR.
Kenyataan beliau jelas lebih cenderung mempertahankan parti luar sehingga sanggup mempertikai pandangan pimpinan sayap parti sendiri secara terbuka. Sikap seperti ini hanya menimbulkan persepsi bahawa ada pihak lebih mengutamakan percaturan politik peribadi berbanding kestabilan dan imej parti di mata rakyat.
Saudara Kamil Munim berhak menyuarakan pendirian berhubung isu dana asing dan integriti NGO kerana perkara tersebut melibatkan persepsi awam serta kepentingan ketelusan politik negara. Dalam soal ini, semua pihak sepatutnya bersikap matang dan tidak bertindak defensif hanya kerana melibatkan tokoh tertentu.
PKR lahir daripada semangat reformasi dan disiplin perjuangan. Kritikan dalaman boleh dibuat melalui saluran parti, bukannya melalui kenyataan terbuka yang akhirnya mencalarkan hubungan sesama pimpinan dan akar umbi.
Jika YB Chan Chun Kuang benar-benar mahu mempertahankan idealisme reformasi, beliau sepatutnya membantu memperkukuh parti dan menjalankan tanggungjawab beliau sebagai pimpinan parti di Cabang Indera Mahkota, bukannya dilihat menjadi “duri dalam daging” yang mengeruhkan keadaan ketika parti sedang berdepan cabaran politik yang besar.
Parti memerlukan kesetiaan kepada perjuangan bersama, bukan kecenderungan untuk bermain politik kelompok dan mempertahankan individu tertentu secara berlebihan.
Sekian.
Ts. AHMAD SAIFULLAH BIN RAZALI
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN INDERA MAHKOTA
20 MEI 2026