14/05/2025
Khamis, 2 Mei 2013, saya, Dato’ Ahmad Yakob dan Datuk Husam Musa dipanggil oleh Tuan Guru Dato' Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk hadir ke rumahnya di Pulau Melaka pada jam enam petang. Sekitar sepuluh minit sebelum waktu yang ditetapkan, saya tiba dan naik bersama Dato’ Ahmad ke rumah beliau.
Pertemuan berlangsung dalam suasana tertutup. Hanya kami berempat yang hadir, iaitu Tok Guru sendiri, Setiausaha Sulit Khas beliau Rusydee Abdullah, Dato’ Ahmad dan saya. Datuk Husam tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan.
Dalam pertemuan itu, Tok Guru menyatakan bahawa beliau sudah lama tidak cekat dan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau menyebut, jika tidak dinyatakan dengan jelas, mungkin akan timbul pelbagai tafsiran. Maka petang itu, Tok Guru sendiri menyatakan hasrat untuk menyerahkan tanggungjawab kepada Dato’ Ahmad Yakob.
Dato’ Ahmad kelihatan terkejut dan dengan rendah diri meminta agar Tok Guru mencari calon lain yang lebih layak. Namun Tok Guru tidak bersetuju. Beliau cerlung tajam kepada Dato’ Ahmad dengan wajah serius, tanda tidak senang dengan penolakan itu. Saya yang duduk di sebelah memegang peha Dato’ Ahmad dan berkata, “Dato’ terimalah. Kita sama-sama pakat tolong.”
Pertemuan itu berlangsung selama lebih kurang setengah jam. Selepas menyampaikan hasratnya, Tok Guru menguruskan surat dan pemakluman kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk tujuan penyelarasan watikah dan langkah seterusnya.
Saya dan Dato’ Ahmad kemudian turun dari rumah. Wajah beliau kelihatan berat, seolah-olah memikul tanggungjawab besar yang baru digalas. Beliau bertanya kepada saya bagaimana untuk memulakan susunan, termasuk lantikan Timbalan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Saya menjawab bahawa saya tidak mahu campur tangan dan menyerah sepenuhnya kepada Dato’ Ahmad. Itulah juga pendekatan yang diamalkan oleh Tok Guru selama ini. Menteri Besar memilih sendiri pasukannya.
Pilihan Raya Umum ke-13 berlangsung pada Ahad, 5 Mei 2013. Selepas itu, Tok Guru sekali lagi mengulangi pendirian dan keputusannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan. Semua yang hadir menyatakan persetujuan.
Seorang daripada ahli jawatankuasa sempat bertanya kepada Tok Guru mengenai pelantikan barisan baharu. Tok Guru menjawab bahawa hal itu diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin yang akan mengambil alih tugas. Itu adalah pasukan beliau. Pada hari yang sama juga, Tok Guru memaklumkan beliau akan mendapatkan rawatan di hospital kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.
Justeru, tidak berbangkit sama sekali cerita bahawa Tok Guru dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Hasrat untuk berundur datang sendiri daripada beliau, disampaikan secara tertib dan dengan pengetahuan penuh kepimpinan parti.
Parti juga telah bersetuju bahawa Dato’ Ahmad Yakob adalah calon Menteri Besar Kelantan yang baharu. Segala proses peralihan berjalan dengan lancar dan teratur.
Tengah hari Isnin, 6 Mei 2013, saya menerima panggilan daripada Dato’ Ahmad Yakob yang memaklumkan agar saya bersedia untuk mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada petang tersebut. Saya benar-benar terkejut dan memohon agar dicarikan orang lain, kerana merasakan tugas tersebut sangat berat. Namun Dato’ Ahmad tetap bertegas. Akhirnya saya akur. Dalam keadaan tergesa-gesa, saya mencari baju Melayu untuk dipakai kerana tidak membuat sebarang persediaan awal.
Dato’ Ahmad Yakob secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dalam istiadat yang berlangsung di Istana Negeri Kubang Kerian sekitar jam enam petang. Saya dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut mengangkat sumpah pada petang itu.
Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, M***i Negeri Kelantan Dato’ Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan Dato’ Jalaluddin Abdul Rahman.
Itulah peristiwa sebenar yang berlaku. Namun sejak beberapa hari lalu, muncul kembali cerita yang tidak benar, kononnya Tok Guru sedang dalam perjalanan untuk mengangkat sumpah tetapi disekat dan disorok. Itu adalah dakwaan yang tidak berasas sama sekali.
Saya rakamkan semula catatan ini bagi memberikan gambaran sebenar berdasarkan pengalaman dan ingatan peribadi. Semoga ia menjadi pencerahan yang bermanfaat kepada semua.
Nota: Gambar kenangan YAB Dato' Ahmad Yakob, saya dan AMMK Negeri Kelantan menziarahi Tok Guru yang berehat di HUSM pada Selasa 7 Mei 2013.