06/08/2026
OPS CEGAH KHAS: AADK KUCHING KESAN 23 INDIVIDU POSITIF DADAH
KUCHING, 6 Ogos 2026 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching meneruskan usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Ops Cegah Khas Bil. 01/2026 yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2026 di beberapa lokasi sekitar Kuching.
Operasi berkenaan memberi tumpuan di Bandar Baru Semariang, Kampung Boyan, Astana, sekitar Kampung Buntal dan Kampung Tabuan Melayu.
Sepanjang operasi tersebut, seramai 23 individu telah ditahan dan menjalani saringan awal air kencing, dengan kesemua mereka didapati positif dadah. Kesemua individu yang dikesan adalah lelaki.
Daripada jumlah tersebut, 19 individu berusia antara 19 hingga 40 tahun, manakala empat lagi berusia antara 41 hingga 50 tahun.
Hasil saringan mendapati 18 individu positif methamphetamine (M**H) manakala lima individu lagi positif ketum.
Kesemua 23 individu terbabit diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1)(a), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AADK Daerah Kuching dalam mempergiat aktiviti pengesanan, intervensi serta tindakan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di kawasan berisiko.
AADK menyeru masyarakat agar terus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman dadah.
“Lebih Baik Cegah”