23/08/2026
23 Ogos 2026
MINI KARNIVAL PBB KAMPUNG STUNGGANG MELAYU BARU MERIAHKAN KOMUNITI
Lundu (Ahad) – Mini Karnival PBB Kampung Stunggang Melayu Baru yang berlangsung di pekarangan Surau Al-Amin, Kampung Stunggang Melayu Baru, berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh meriah, harmoni dan semangat kekitaan.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa menerusi aktiviti sukan, pertandingan mewarna dan pertandingan Karaoke Kilauan Emas.Walaupun berdepan keadaan berjerebu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat masyarakat untuk terus mengambil bahagian dan memeriahkan program yang dianjurkan.
YB Haji Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan berkata, beliau melihat penganjuran Mini Karnival PBB ini sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam merapatkan hubungan masyarakat serta memperkukuh kerjasama antara komuniti, NGO, agensi kerajaan dan pertubuhan setempat.
“Saya melihat dan memberikan 100 peratus sokongan terhadap program seperti ini. Ini merupakan satu usaha yang sangat baik untuk meramaikan komuniti dan menggalakkan kerjasama antara pelbagai NGO, agensi serta pertubuhan dalam satu program bersama Parti.”
Beliau turut memuji Kampung Stunggang Melayu Baru sebagai antara yang terawal menganjurkan program seumpama ini dan berharap pendekatan tersebut dapat diperluaskan ke ranting-ranting PBB yang lain, sama ada secara berasingan mahupun melalui penganjuran secara bersama.
“Apa yang penting ialah semangat bersatu, bekerjasama dan menjaga kepentingan kampung dan menjadi platform untuk kita memperkukuh hubungan antara masyarakat, PPWS, PIBG, Surau Al-Amin dan JKKK Kampung.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Ranting PBB Kampung Stunggang Melayu Baru, Haji Ramdan bin Mahri yang telah menyumbang sebanyak RM15,000 bagi menjayakan penganjuran Mini Karnival PBB Kampung Stunggang Melayu Baru.
Hadir sama, Pemanca Jumahdi Sabian. Naib Ketua Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Encik Sintu Anak Layang. Ketua Pergerakan Wanita, Puan Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda, Kaunselor Mohd Radhzie bin Kassim.