07/11/2023
Laman FB hina Islam: Pemuda PBB N6 Tupong buat laporan polis
KUCHING: Pergerakan pemuda PBB N6 Tupong hari ini membuat laporan polis terhadap pengulas serta pentadbir laman Facebook, Politik Sarawak Menuju Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), kerana menghina kesucian Islam.
Ketua PBB N6 Tupong, Ahmad Tarmizi menyatakan kecaman terhadap tindakan memuat naik imej kepala khinzir di sebalik kalimah suci Islam oleh seorang pengguna dalam Facebook Group tersebut.
Beliau menyatakan bahawa imej itu menyentuh sensitiviti umat Islam dan menganggapnya sebagai penghinaan terhadap Islam, terutama pada masa-masa sukar ini ketika konflik yang sedang berlaku di Palestin.
"Imej trolling ini jelas tidak menghormati kalimah suci Islam dan bertindak sebagai provokasi yang boleh mengganggu perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Catatan Facebook bertarikh 6 November itu muncul di laman Politik Sarawak Menuju PRN12 yang menggambarkan kepala babi di sebalik frasa kalimah suci Islam itu yang terpapar pada bendera Arab Saudi.
Pergerakan pemuda PBB N6 Tupong menggesa siasatan polis dijalankan dan laman Facebook Group terbabit disekat. Aduan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).