01/06/2026
UCAPAN KHAS BERSEMPENA HARI GAWAI DAYAK 2026
Salam Sejahtera, Salam Sarawakku Sayang, Salam Sarawak Maju Makmur, Salam Segulai Sejalai.
Pertama sekali, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak, sama ada yang berada di kampung halaman mahupun di perantauan.
Hari Gawai Dayak merupakan satu perayaan yang amat bermakna bagi masyarakat Dayak. Ia merupakan masa untuk mensyukuri segala nikmat yang diterima, mengeratkan hubungan kekeluargaan, serta meraikan kekayaan budaya, tradisi dan adat yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
Setiap tahun, Hari Gawai Dayak menghimpunkan ahli keluarga, sahabat handai dan komuniti. Ia merupakan waktu istimewa apabila rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama saling berkunjung, berkongsi juadah serta meraikannya dalam semangat sebenar Segulai Sejalai.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dapat dinikmati di seluruh pelosok Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.
Pada masa ini, Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sepanjang 5,977 kilometer bekas jalan balak di kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan jaringan jalan raya, memperbaiki aksesibiliti serta membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada komuniti di seluruh Sarawak.
Ini mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan GPS untuk memastikan setiap penempatan dan komuniti di Sarawak dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang lebih baik. Kita memahami bahawa jalan raya yang baik bukan sahaja meningkatkan hubungan dan aksesibiliti, malah mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tahun ini mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Kerajaan GPS melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Kerajaan GPS memberi penekanan yang tinggi terhadap bidang pendidikan menerusi pelaksanaan FTES.
Melalui inisiatif FTES, anak-anak Sarawak berpeluang mengikuti mana-mana daripada 64 program pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk Undang-Undang dan Psikologi yang ditawarkan di universiti milik Sarawak tanpa membebankan kewangan keluarga mereka.
Pendidikan merupakan kunci untuk memutuskan rantaian kemiskinan dan membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda kita.
Ini merupakan satu pelaburan penting dalam melahirkan bakat anak Sarawak yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan dan berdaya saing kerana kita percaya bahawa rakyat merupakan aset terbesar negeri ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) mencerminkan pendekatan Kerajaan GPS yang prihatin dan mengutamakan rakyat dalam membantu meringankan beban yang dihadapi akibat peningkatan harga barangan susulan konflik di Asia Barat.
Memahami cabaran yang dihadapi rakyat serta bagi mengurangkan kesan konflik tersebut, Kerajaan GPS di bawah pimpinan YAB Premier Sarawak telah meningkatkan kadar bantuan SKAS. Langkah ini bertujuan memastikan setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja.
Kadar bantuan SKAS yang disemak semula bagi tahun 2026 adalah seperti berikut:
a. Isi Rumah: RM1,100 setahun (meningkat daripada RM950)
b. Warga Emas: RM600 setahun (meningkat daripada RM500)
c. Individu Bujang: RM375 setahun (meningkat daripada RM300)
Bantuan SKAS disalurkan dalam tiga fasa dan pembayaran fasa kedua telah bermula pada 15 Mei 2026.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Yang lebih penting, semua inisiatif ini mencerminkan sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar, memahami keperluan rakyat serta komited dalam melindungi kebajikan, kesejahteraan dan masa depan seluruh rakyat Sarawak.
Di bawah kepimpinan YAB Premier Sarawak, seorang pemimpin untuk semua kaum, marilah kita terus melangkah maju bersama dalam semangat Segulai Sejalai.
Marilah kita terus bersatu dan berganding bahu merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak yang makmur, inklusif dan lestari dari segi alam sekitar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Semoga sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini membawa kebahagiaan, keamanan, kesihatan yang baik dan kemakmuran kepada kita semua.
Selamat ngintu Hari Gawai Dayak 2026.
Gayu guru gerai nyamai,
Lantang senang nguan menua,
Betuchung baka bukit,
Bekebung baka langit.
βββ