03/09/2026
KUCHING DIPILIH SEBAGAI KONVENOR DAN BANDAR PENGERUSI ALLIANCE FOR HEALTHY CITIES BAGI TEMPOH 2028–2030
SYDNEY, 3 SEPTEMBER 2026 – Kuching mencatat pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila dipilih secara sebulat suara sebagai Konvenor dan Bandar Pengerusi Alliance for Healthy Cities (AFHC) bagi tempoh 2028–2030 pada Mesyuarat Agung Ke-11 AFHC.
Kuching turut disahkan secara rasmi sebagai tuan rumah Persidangan Global AFHC Ke-12 pada tahun 2028, yang akan menghimpunkan pemimpin bandar sihat, pembuat dasar, pakar dan pengamal dari seluruh rangkaian AFHC ke Sarawak.
Kuching diwakili secara bersama pada Mesyuarat Agung tersebut oleh Economic Planning Unit (EPU) Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), mencerminkan kerjasama erat antara keempat-empat agensi dalam memperkukuh agenda Bandar Sihat.
Delegasi Kuching terdiri daripada Pengarah EPU Sarawak, Datu Ir. Ts. Awg Muhammad Fadillah bin Awg Redzuan; Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy bin Othman; Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng; serta Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Cr Mahmud bin Dato Sri Haji Ibrahim.
Pemilihan secara sebulat suara ini merupakan satu pengiktirafan penting kepada Kuching dan Sarawak, khususnya apabila AFHC kini menghimpunkan 181 bandar dan organisasi anggota yang komited dalam mempromosikan komuniti yang lebih sihat, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Sebagai Konvenor dan Bandar Pengerusi, Kuching akan memainkan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam rangkaian AFHC, termasuk memperkukuh kerjasama serta perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik antara bandar anggota.
Penganjuran Persidangan Global AFHC Ke-12 pada tahun 2028 p**a akan menjadi platform penting untuk mengetengahkan inisiatif dan pengalaman Kuching serta Sarawak kepada masyarakat antarabangsa, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang bandar sihat, kelestarian dan kesejahteraan komuniti.
Pencapaian ini merupakan kejayaan bersama Kuching dan Sarawak, hasil komitmen serta kerjasama erat antara EPU, DBKU, MBKS dan MPP dalam usaha membangunkan Kuching sebagai sebuah bandar yang lebih sihat, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.