13/08/2026
PROGRAM GEGAR PERKASA KOMUNITI DALAM USAHA MEMBANTERAS PENYALAHGUNAAN DADAH DI SPS KAMPUNG SUNGAI ALO MUKAH.
MUKAH, 8 Ogos 2026 – Program Gerakan Pemerkasaan Rakyat (GEGAR) telah berlangsung di Dewan Serbaguna SPS Kampung Sungai Alo, Mukah, dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat bersama SKUAD Antidadah Mukah dan Skuad Antidadah Politeknik Mukah.
Program ini bertujuan memperkasakan komuniti melalui peningkatan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dalam menangani permasalahan penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi, di samping menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha pencegahan dan pembanterasan dadah.
Program dimulakan dengan Sesi 1 yang disampaikan oleh Pengerusi Skuad Antidadah Mukah, Saudara Haris Bin Abdullah, bertajuk “Peranan Komuniti dalam Pemerkasaan Membanteras Dadah”. Sesi tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan peranan masyarakat sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti, mencegah dan menangani isu penyalahgunaan dadah di kawasan setempat.
Seterusnya, Sesi 2 disampaikan oleh Saudara Petrus Emmanuel Tran Bin Pulusagi menerusi perkongsian bertajuk “Kebangkitan dari Sejarah Hitam”. Perkongsian tersebut memberi inspirasi kepada para peserta mengenai kekuatan untuk bangkit daripada pengalaman lalu serta menjadikan sejarah hitam sebagai pengajaran dan motivasi untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Program diteruskan dengan Sesi 3 iaitu khidmat masyarakat melalui aktiviti gotong-royong membersihkan Dewan Serbaguna SPS Kampung Sungai Alo. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk semangat kerjasama dan kesukarelawanan dalam kalangan peserta, malah mengeratkan hubungan antara komuniti, Skuad Antidadah Mukah dan Skuad Antidadah Politeknik Mukah.
Pelaksanaan Program GEGAR ini memberi impak positif apabila peserta memperoleh peningkatan dari segi pengetahuan, kefahaman serta kemahiran dalam memainkan peranan menangani masalah dadah dalam komuniti. Penglibatan penggerak komuniti dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah turut dapat dipertingkatkan melalui jaringan kerjasama dan kesedaran yang dibentuk sepanjang program.
Selain itu, program ini berjaya mewujudkan kelompok penggerak komuniti yang lebih peka, prihatin dan responsif terhadap permasalahan dadah di kawasan setempat. Penglibatan komuniti secara berterusan dilihat amat penting dalam memastikan usaha pencegahan dadah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Program GEGAR di Sungai Alo diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuhkan kerjasama antara masyarakat dan Skuad Antidadah, seterusnya membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan serta bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Tekan 👍🏻 dan kongsi mesej ni biar lebih ramai sedar.
Masalah Dadah hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235 (AADK) atau 019-626 2233 atau layari icari.aadk.gov.my untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan. Layari www.aadk.gov.my untuk mendapatkan informasi lebih lanjut.