23/06/2026
Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC) adakan Lawatan Tapak ke Projek Jalan Akses Empangan Hidro Baleh, Kapit
KAPIT, 24 Jun – Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC) telah mengadakan lawatan tapak ke Projek Jalan Akses Empangan Hidro Baleh di Bahagian Kapit.
Lawatan tapak yang diketuai oleh Pengerusi PAC Sarawak, Dato Haji Razaili Bin Haji Gapor itu bertujuan meninjau dan menilai secara langsung kemajuan pelaksanaan Projek Jalan Akses Empangan Hidro Baleh yang merupakan antara projek infrastruktur strategik di Sarawak.
Delegasi PAC Sarawak turut diberikan taklimat mengenai status semasa projek oleh Ir. Ts. Christopher Donovan Durin Ajoi, Penolong Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit. Taklimat tersebut merangkumi perkembangan pelaksanaan projek, kemajuan fizikal kerja serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Selain lawatan tapak, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi membolehkan ahli-ahli PAC mendapatkan maklumat dan maklum balas secara langsung daripada agensi pelaksana berhubung pelaksanaan projek tersebut.
Melalui lawatan tapak ini, PAC Sarawak dapat menilai sendiri perkembangan projek serta memperkukuh peranan jawatankuasa dalam memastikan projek-projek pembangunan negeri dilaksanakan secara cekap, berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Turut serta dalam lawatan tapak tersebut, Dato Mohd Chee Kadir, Dato Ir. Lo Khere Chiang, Dato Rolland Duat Anak Jubin, Encik See Chee How, Encik Wilson Nyabong Anak Ijang, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr QPr. Dr. Cassidy Anak Morris, Datu Chiew Chee Yau, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), wakil Regional Corridor Development Authority (RECODA), ahli-ahli Ex-Officio PAC Sarawak, wakil Jabatan Audit Negara serta Setiausaha PAC Sarawak, Encik Nur Azhar Bin Bujang.