19/08/2026
JAGO Semarak Kempen āSatu Rumah Satu Jalur Gemilangā Di Sarawak Energy Berhad
KUCHING, 19 Ogos - Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak memperhebat Kempen Kibar Jalur Gemilang menerusi inisiatif JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) dengan menggerakkan pelbagai agensi bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, berkata inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada mesej āSatu Rumah Satu Jalur Gemilangā sebagai usaha menggalakkan masyarakat, termasuk penjawat awam dan warga kerja pelbagai sektor, bersama-sama menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
āJAGO merupakan satu pendekatan JAPEN untuk menggerakkan pelbagai agensi dan komuniti dalam menyampaikan mesej kempen secara lebih meluas. Kita mahu semangat mengibarkan Jalur Gemilang ini dapat diteruskan di setiap peringkat masyarakat,ā katanya ketika ditemui pada program JAGO di sini, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai agensi dalam Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang membolehkan mesej patriotisme disampaikan dengan lebih meluas menerusi jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor keselamatan, industri dan kesihatan.
āMelalui penglibatan setiap kluster, kita dapat memperluas capaian kempen dan memastikan mesej patriotisme ini sampai kepada masyarakat melalui agensi serta organisasi yang dekat dengan komuniti,ā katanya.
Menerusi program berkenaan, penyerahan kit Jalur Gemilang dilaksanakan kepada wakil agensi yang terlibat dalam empat kluster, iaitu kluster agensi kerajaan, keselamatan, industri dan kesihatan.
Penyerahan kit di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar diterima oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Bagi kluster keselamatan, kit Jalur Gemilang turut diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching serta Komander Pintu Masuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pius Inggong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Kamaruzzaman Razali, menerima kit bagi mewakili kluster industri.
Bagi kluster kesihatan p**a, kit Jalur Gemilang diserahkan kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) Normah Medical Centre, Vesmawati Jaafar.
Sabri berkata, penglibatan pelbagai agensi menerusi JAGO penting dalam memperluas penyampaian mesej Kempen Kibar Jalur Gemilang kepada masyarakat, di samping memperkukuh kerjasama dalam menjayakan agenda patriotisme.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang atau sektor pekerjaan supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan dan kebanggaan terhadap negara.
Usaha berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme rakyat Sarawak serta meningkatkan penglibatan masyarakat dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)