16/01/2026
KENYATAAN MEDIA
ARMADA BERSATU NEGERI JOHOR
ARMADA JOHOR KECAM KENYATAAN WARTAWAN YANG MENYENTUH ISU PERKAUMAN DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA
ARMADA BERSATU Negeri Johor memandang serius satu temu bual yang disiarkan di beberapa platform media sosial melibatkan seorang wartawan tempatan bersama panel jemputan luar negara, yang mengandungi kenyataan berunsur perkauman serta menyentuh isu sensitif 3R.
Kenyataan yang disampaikan dalam temu bual tersebut didapati menyamakan kaum Melayu di Malaysia dengan rejim Zionis serta melabel masyarakat Melayu Muslim sebagai bersikap xenofobik dan anti-imigran. ARMADA Johor menegaskan bahawa kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, mengelirukan serta berpotensi menyemai kebencian antara kaum, sekali gus menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.
ARMADA Johor berpendirian bahawa kebebasan media tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan sentimen perkauman, mencabar sensitiviti rakyat, serta mencemarkan imej Malaysia di mata dunia. Lebih-lebih lagi apabila kandungan tersebut disiarkan secara terbuka dan boleh diakses oleh masyarakat antarabangsa, yang berisiko memberi implikasi negatif terhadap perpaduan nasional dan keyakinan pelabur asing.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Negeri Johor melalui beberapa bahagian telah membuat beberapa laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. ARMADA Johor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil tanpa sebarang campur tangan.
ARMADA Johor ingin menegaskan komitmen kami untuk terus mempertahankan prinsip keharmonian kaum, kebebasan bersuara yang bertanggungjawab serta kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan negara.
MUHAMMAD HARITH BIN LOKMAN
NAIB KETUA
ARMADA BERSATU NEGERI JOHOR
"Armada Johor menegaskan bahawa kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, mengelirukan serta berpotensi menyemai kebencian antara kaum, sekali gus menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini," katanya.