22/08/2026
MAJLIS PELUNCURAN TAMAN ANGKAT AMANITA PDRM KONTINJEN SABAH TAHUN 2026 – TAMAN KUNAK KAYA, KUNAK
22 Ogos 2026 | Dewan SJK (C) Pai Sheng, Kunak
KUNAK, 22 Ogos 2026 – Program Majlis Peluncuran Taman Angkat AMANITA PDRM Kontinjen Sabah Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SJK (C) Pai Sheng, Kunak, dengan penglibatan seramai kira-kira 300 orang yang terdiri daripada warga PDRM, agensi kerajaan, komuniti setempat, pemimpin masyarakat, guru serta ahli Kor Kadet Polis.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh YDH DCP Datuk Mohd Azhar bin Hamin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, serta YB Dato' Sri Dr Anil Sandhu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN N63 Kunak.
Turut hadir ialah YDH SAC Lim San Aik, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Sabah, YDH SUPT Rejali ak Angong, Ketua Polis Daerah Kunak selaku tuan rumah program, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah PDRM Kontinjen Sabah, wakil agensi kerajaan, PERKEP, AMANITA, SSPDRM, rakan media serta komuniti setempat.
Program ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh hubungan strategik antara PDRM khususnya AMANITA dengan masyarakat melalui pendekatan kepolisan komuniti yang lebih dekat, mesra dan berterusan.
Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk ceramah berkaitan VSP dan QR Code Pengaduan Awam, kesedaran mengenai scammer/penipuan laman maya, gangguan seksual dan buli, pameran oleh PDRM serta agensi kerajaan, dan tayangan drama pendek bertemakan buli.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian Peluncuran Taman Angkat AMANITA PDRM Kontinjen Sabah Tahun 2026 serta gimik perasmian yang disempurnakan oleh YDH Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Pemilihan Kampung Kunak Kaya, Kunak sebagai Taman Angkat AMANITA PDRM Kontinjen Sabah Tahun 2026 adalah bertepatan dengan kekuatan struktur komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, di samping penglibatan aktif KRT dan golongan wanita dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Inisiatif ini diharapkan dapat memperkasa golongan wanita sebagai rakan strategik PDRM, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan, pencegahan jenayah dan isu sosial.
Taman Angkat AMANITA ini juga akan menjadi platform kolaboratif yang berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara PDRM, agensi kerajaan dan komuniti setempat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan sejahtera.
POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA