11/11/2025
"PAS Negeri Sembilan sedia jika PRU awal"
Oleh NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
11 November 2025, 10:00 am
JEMPOL: PAS Negeri Sembilan telah memulakan persediaan terhadap jangkaan pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.
Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, ia termasuk melihat calon yang berpotensi diketengahkan serta kawasan yang akan ditandingi.
“Kami sedang menyediakan kekuatan lebih awal termasuk calon dan kawasan yang akan ditandingi. Walaupun masih di peringkat awal, perbincangan sudah bermula.
“Kalau ikut tempoh masa memang lama lagi, tetapi politik Malaysia ini tidak pernah stabil. Ada yang kata Parlimen mungkin dibubarkan tahun depan, jadi kami bersiap dari sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata, perbincangan dan persiapan itu hanyalah di peringkat Pas dan belum sampai kepada Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Pas Negeri Sembilan menyasarkan untuk bertanding dan memenangi lebih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain beberapa kerusi Parlimen yang menjadi tumpuan.
“Daripada 36 kerusi DUN, kami sasarkan lebih 10 kerusi, mungkin 11 atau 12 tetapi perkara ini masih di peringkat perbincangan kerana ia juga melibatkan rakan komponen dalam PN,” katanya.
Beliau berkata, Pas sudah pasti akan menampilkan calon pelbagai latar belakang termasuk dalam kalangan profesional bagi menarik pengundi.
“Kali ini, kita tidak hanya menampilkan ustaz tetapi juga calon profesional bagi memperkukuh pasukan dan keyakinan rakyat,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023, Pas menerusi PN memenangi tiga kerusi DUN iaitu Serting, Paroi dan Bagan Pinang. – UTUSAN