22/03/2025
DUA INDIVIDU DIJATUHKAN HUKUMAN DENDA DAN PENJARA, MELAKUKAN KESALAHAN DI BAWAH AKTA JABATAN KESIHATAN LABUAN.
Labuan, 22 Mac 2025 - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM600 atau penjara selama lima minggu oleh Hakim Mahkamah Majistret Labuan Kasyfurrahman Abang Ahmad.
Walau bagaimanapun lelaki tersebut membayar hukuman denda berkenaan.
Pada kes itu, pesalah didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa penyakit 1975.
Pesalah telah menimbulkan sesuatu keadaan yang boleh membiakkan dan memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit iaitu nyamuk Aedes.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Francis Paul menasihatkan agar orang ramai tidak membiarkan kediaman menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Ini bagi membendung penularan dan peningkatan kes deman denggi di Labuan.
Dalam kes berasingan, Orang Kena Saman (OKS) merupakan pesakit TIBI menjalani hukuman penjara tiga bulan apabila gagal membayar denda RM1,200 setelah hukuman dijatuhkan hakim majistret.
OKS dijatuhi hukuman kerana enggan menjalani rawatan sepertimana diarahkan oleh pegawai diberikuasa.
Individu itu dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa.
Kedua-dua kes pendakwaan itu dilaksana oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Labuan Pedelin Rimpau.