31/08/2025
| KENYATAAN MEDIA PRESIDEN USNO |
MEMBIDAS SUHAIMI NASIR: GRS BUKAN GAGAL, SEBALIKNYA MEMBETULKAN LEGASI KELEMBAPAN BN
Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir, yang menuduh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai paling gagal dalam sejarah negeri adalah tuduhan liar, tidak berasas, dan langsung tidak berpijak di bumi nyata. Tuduhan ini lahir daripada dendam politik yang buta mata, tuli telinga, dan enggan menerima hakikat bahawa rakyat Sabah telah menolak dominasi UMNO/BN pada PRN lalu.
1.DNA Politik: Cermin Diri Sebelum Menuding Jari
Semua pemimpin di Sabah hari ini, tanpa mengira parti – sama ada UMNO, Warisan, PH, malah GRS sekalipun – mempunyai DNA politik UMNO/BN. Bezanya, ada yang berani berubah, menginsafi kelemahan lalu, dan berusaha memperbetulkannya, manakala ada p**a yang masih terperangkap dengan budaya lama: retorik tanpa solusi.
Suhaimi jangan lupa, bahawa sebelum Langkah Kinabalu, beliau dan BN juga sebahagian daripada kerajaan hari ini. Maka, apabila beliau cuba menuding jari kepada Datuk Seri Hajiji, tidakkah pelik apabila orang yang sama pernah duduk dalam kerusi kuasa itu kini cuba berpura-pura seolah-olah tidak terlibat?
Kredibiliti seorang pengkritik lahir daripada wibawa dirinya sendiri. Sebelum menilai Hajiji, Suhaimi perlu menilai rekod kegagalan partinya yang menjadi punca kelembapan Sabah sejak sekian lama.
2.Legasi Kelembapan BN
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kelembapan pembangunan Sabah berakar daripada kelemahan pentadbiran BN. Puluhan tahun berkuasa, BN gagal menyediakan asas kemajuan yang mampan. Banyak projek infrastruktur tergendala, perancangan lemah, dan pelaksanaan sering tercemar dengan ketirisan.
Kesannya, Sabah ketinggalan dalam hampir semua sektor – daripada jalan raya, bekalan air, tenaga elektrik, hinggalah peluang pekerjaan. Inilah legasi kelembapan yang sedang dibetulkan oleh GRS hari ini.
3.Isu Korupsi dan Kes Mahkamah: Suhaimi Wajar Malu
Suhaimi cuba mengangkat isu integriti, korupsi, dan kes mahkamah. Di sinilah beliau sepatutnya lebih berhati-hati – malah sepatutnya malu.
Ada beza besar antara:
Pemimpin BN Sabah yang sudah keluar masuk mahkamah kerana tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, dengan
Pemimpin lain yang sekadar dituduh tetapi belum pun dibicara di mahkamah.
Rakyat Sabah tidak buta. Mereka sedar siapa yang sudah terbukti gagal menjaga integriti dan siapa p**a yang masih diadili dengan proses undang-undang. Maka, Suhaimi bukan sahaja tidak layak menyebut soal integriti, malah lebih wajar bercermin sebelum bersuara.
4.Infrastruktur: Fakta Menjawab Fitnah
Suhaimi cuba menimbulkan isu jalan, air, dan elektrik. Tetapi fakta tidak boleh menipu:
Jalan Raya (Pan Borneo): Fasa 1A kini sudah lebih 80% siap. Zaman BN, projek ini berulang kali tergendala akibat kelemahan pengurusan.
Bekalan Elektrik: Kawalselia kini kembali kepada negeri melalui penubuhan Energy Commission of Sabah (ECoS), termasuk projek mega Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu.
Bekalan Air: Projek Telibong II (80 MLD) dan Kogopon Fasa 2 (40→80 MLD) dilaksanakan dengan tambahan dana RM320 juta.
Ini bukan janji kosong, tetapi penyelesaian konkrit yang sedang dirasai rakyat.
5.Ekonomi dan Peluang Pekerjaan
Data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran Sabah pada suku kedua 2025 menurun kepada 6.2%, berbanding 6.7% sebelumnya. Ini bermakna lebih 20,000 rakyat Sabah kembali mendapat pekerjaan dalam tempoh 18 bulan terakhir, manakala guna tenaga meningkat lebih 150,000 orang.
Trend ini bukti nyata bahawa GRS berjaya memulihkan keyakinan pelabur, memacu pembangunan, dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi berterusan.
6.Integriti dan Hak Sabah
Melalui SMJ Energy, GRS berjaya menandatangani Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan PETRONAS. Perjanjian ini mengembalikan sebahagian besar hak Sabah dalam minyak dan gas – sesuatu yang tidak pernah BN lakukan walaupun berkuasa puluhan tahun.
Lebih 70% kerja-kerja perkhidmatan dan bekalan dalam projek CCA kini diberikan kepada vendor tempatan Sabah. Hasil dan limpahan ekonomi kini benar-benar sampai ke tangan rakyat Sabah sendiri.
7.Aspirasi Politik Sabah: Bebas dari Dominasi Luar
Langkah YAB Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan sebahagian besar pimpinan Sabah meninggalkan BN untuk membina GRS lahir daripada kesedaran bahawa Sabah mesti dibebaskan daripada dominasi politik luar.
Sebab itu parti-parti tempatan seperti USNO, PBS, STAR, SAPP, PHRS, PCS, PGRS, dan LDP bersatu di bawah GRS – untuk memastikan kepimpinan negeri ini DOMINAN oleh parti-parti tempatan.
GRS tidak menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi ia mesti berasaskan penghormatan kepada autonomi Sabah.
8.Mengapa Hajiji Perlu Terus Memimpin
Datuk Seri Hajiji Haji Noor terbukti berjaya membawa hala tuju baharu – memulihkan keyakinan pelabur, memperkukuh kewangan negeri, serta mengembalikan kuasa kawalselia Sabah.
Beliau perlu terus memimpin kerana tempoh pemulihan ini memerlukan kesinambungan dan kestabilan. Dan sekalipun pada masa akan datang beliau memilih untuk berehat selepas penggal ini, prinsip asas mesti kekal: kepimpinan Sabah tidak boleh kembali ke tangan parti luar yang pernah menghancurkan negeri ini.
9.Isu Pindah Parti: Ini Negara Demokrasi
Penyakit lazim kebanyakan pemimpin semasa UMNO ini wajar dibuang, semua bekas pemimpin UMNO/BN mesti salah, gagal, dan wajib berhenti politik. Suhaimi sewajarnya faham, dalam amalan demokrasi - parti adalah wahana sahaja. Kalau perjuangan sudah tidak selari dengan prinsip individu, secara demokratik dia berhak untuk keluar dan memilih parti lain.
Hari ini, semua pemimpin yang pernah di BN dan memilih GRS bukan atas sebab suka-suka. Ini soal kesedaran, betapa kuasa pentadbiran negeri ini harus diberikan sepenuhnya kepada parti rakyat Sabah, parti tempatan bukan lagi parti yang terpaksa menunggu "lampu hijau dari seberang" untuk setiap keputusan.
10.Kesimp**an
Kenyataan Suhaimi bahawa Ketua Menteri patut “berehat” adalah penghinaan kepada rakyat Sabah yang sudah muak dengan kegagalan lama BN. Hakikatnya, GRS sedang memacu pembaharuan – memajukan Pan Borneo, memperkukuh tenaga dan air, serta mengembalikan hak minyak dan gas kepada negeri.
Rakyat Sabah tidak akan kembali ke tangan yang pernah melumpuhkan negeri ini. Masa depan Sabah mesti dipimpin oleh parti tempatan yang DOMINAN, berani, dan bermaruah.
GRS adalah pilihan itu.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Presiden USNO
Timbalan Pengerusi GRS