10/08/2026
LANGKAWI PERLUKAN PELAN INDUK PEMBANGUNAN KOMPREHENSIF, ELAK IDENTITI TERJEJAS
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah disaran menyediakan Pelan Induk Pembangunan Langkawi yang komprehensif, bersepadu dan berpandangan jauh bagi memastikan pembangunan pulau lagenda terus dipacu secara lestari, tanpa mengorbankan identiti, khazanah alam sekitar dan warisan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, pelan induk itu perlu dijadikan dokumen rujukan utama kepada semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan Langkawi.
Menurutnya, pelan berkenaan hendaklah berteraskan titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dalam mengekalkan identiti dan keunikan Langkawi serta mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan.
“Sebagaimana titah Sultan Kedah, pembangunan Langkawi hendaklah berasaskan acuan, identiti dan kekuatan tersendiri tanpa perlu meniru atau membandingkannya dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket atau Bali.
“Keunikan Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi, warisan, sejarah serta nilai-nilai yang membentuk identiti pulau ini,” katanya ketika membentangkan usul menjunjung titah Sultan Kedah berhubung hala tuju pembangunan Langkawi serta memperkasakannya sebagai permata Kedah secara lestari.
Menurut Amar Pared, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah juga perlu menggesa Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri menerusi peningkatan ketersambungan udara dan laut, pemerkasaan status Pulau Bebas Cukai serta pembangunan infrastruktur strategik.
Selain itu, katanya, aspek pemuliharaan aset pelancongan serta promosi pelancongan yang lebih agresif dan bersepadu juga perlu diberikan perhatian.
“DUN Kedah perlu menolak dengan tegas sebarang cadangan, usaha atau tindakan yang boleh menjejaskan kedudukan Langkawi sebagai sebahagian daripada negeri Kedah.
“Sebarang cadangan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, fakta sejarah, kedaulatan negeri serta kepentingan rakyat Kedah tidak wajar diterima,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak wajar menyokong segala usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia berteraskan prinsip kelestarian, pemeliharaan khazanah alam sekitar dan warisan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Pertumbuhan ekonomi Langkawi juga perlu bersifat inklusif, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat, pemimpin, agensi kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bersama-sama memelihara imej serta reputasi Langkawi dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, industri pelancongan dan kepentingan ekonomi negeri.
Menurutnya, titah Sultan Kedah berhubung hala tuju pembangunan Langkawi perlu diterjemahkan kepada dasar, tindakan dan pelaksanaan yang berkesan demi menjamin kelangsungan pembangunan Langkawi sebagai Permata Kedah.
“Langkawi merupakan aset strategik Kedah dan negara yang perlu dipelihara, diperkasakan serta dibangunkan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri.
“Pembangunan Langkawi hendaklah dilaksanakan secara lestari dengan memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, kelangsungan warisan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Kedah turut menzahirkan pendirian tegas untuk tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej, reputasi dan kepentingan Langkawi.
“Titah Sultan Kedah merupakan amanah dan pedoman yang amat jelas kepada semua pihak bahawa pembangunan Langkawi perlu digerakkan secara terancang, mampan dan berteraskan identiti negeri.
“Pembangunan Langkawi wajar terus dipacu secara lestari, inklusif dan berdaya saing demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya.