14/08/2026
Di Sarawak, langit bertukar kelabu.
Anak-anak terpaksa belajar dari rumah. Ibu bapa menutup tingkap. Pesakit asma mula mencari alat sedut mereka.
Api mungkin bermula di negara lain, tetapi asapnya tidak mengenal sempadan.
Beginilah jerebu terjadi.
Apabila hutan atau tanah dibakar untuk membersihkan kawasan, api boleh merebak tanpa kawalan. Musim kemarau yang panjang, cuaca panas dan kesan El Niño menjadikan tumbuhan serta tanah semakin kering.
Lebih berbahaya apabila api membakar tanah gambut. Api boleh membara jauh di bawah permukaan selama berhari-hari, sukar dipadamkan dan menghasilkan asap yang sangat tebal.
Asap ini mengandungi zarah halus PM2.5. Ia terlalu kecil untuk dilihat, tetapi cukup halus untuk masuk jauh ke dalam paru-paru dan menembusi aliran darah.
Setakat 3.30 petang, 13 Ogos 2026, Serian mencatatkan IPU 204, iaitu pada tahap sangat tidak sihat. Beberapa kawasan lain di Sarawak turut merekodkan udara tidak sihat, manakala enam buah sekolah di Tebedu terpaksa ditutup selepas IPU melebihi 200.
Di Indonesia, lebih 107,000 hektar hutan dan tanah dilaporkan terbakar antara Januari hingga Jun 2026. Pemantauan satelit turut mengesan sebaran asap di Sumatera Selatan serta Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan.
Kami tahu rakyat Indonesia juga menjadi mangsa. Mereka turut menghidu asap yang sama. Anak-anak mereka juga terpaksa berkurung dan belajar dari rumah.
Ini bukan kemarahan terhadap rakyat Indonesia.
Ini desakan supaya pembakaran dihentikan, pelaku dikenakan tindakan dan syarikat yang membuka tanah menggunakan api tidak terus dibiarkan.
Jangan tunggu api membesar sebelum helikopter diterbangkan.
Jangan tunggu asap menyeberangi sempadan sebelum tindakan diambil.
Pesanan buat negara jiran:
Stop pembakaran hutan.
Paru-paru rakyat Malaysia bukan penapis udara percuma.
Kami tak perlukan “hadiah” jerebu setiap tahun.