07/11/2023
LAWAS: Setiausaha Politik Premier Sarawak Sam Laya dilantik sebagai Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Ba’ Kelalan selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ditetapkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu di Dewan Masyarakat Long Tuma dekat sini, Sabtu lalu.
Pada mesyuarat itu, Balang Sibal dipilih sebagai Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi Satu dipegang oleh Peter Loh dan ahli-ahli biasa terdiri daripada Robert Teo, Balang Sigar, Lawrance Sakai, Panai Kaya dan Maria Wesli.
Mesyuarat itu dihadiri seramai 106 ahli berdaftar dan dipengerusikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak Alexander Asing dan dibantu seramai 11 ahli MKT PDP dari ibu pejabat serta lain-lain bahagian di Sarawak untuk memantau dan menyaksikan perjalanan mesyuarat seperti tertera dalam perlembagaan.
Mereka termasuk Hillary Mawan, Andrew Abak, David Yeo Ang, Hellen Kasing, Lim Goon Tee, Lumah Madai, Chang Chun Hung, Fauzi Ali, Daniel Taha dan Donny Joseph.
Alexander menjelaskan, tarikh mengemuka dan mencalon tutup pada 18 Oktober lalu dan jawatankuasa hanya menerima satu pencalonan bagi setiap lapan jawatan perlu dipertandingkan.
Sementara itu, Sam mengadakan mesyuarat pertamanya dengan melantik ahli-ahli untuk mengisi jawatan- jawatan ditetapkan.
Beliau berterima kasih atas kepercayaan ahli-ahli kepada barisan jawatankuasa beliau bagi memimpin serta memenuhi misi dan visi parti bagi mengembalikan kepercayaan ahli-ahli akar umbi dan bersama memperjuang nasib rakyat di Ba' Kelalan agar selari dengan matlamat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
🔗 Links: https://www.utusanborneo.com.my/2023/11/07/sam-laya-dipilih-sebagai-pengerusi-pdp-ba-kelalan?fbclid=IwAR1BWV6hKiDlfghhewa0z_J2Q8lA3_FlVe6uDOyQHLW2V2v7UuLrpGkxv-Y