18/08/2026
KENYATAAN MEDIA
KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI PERAK
MASANYA UMNO PERAK MEMBUAT PENDIRIAN: JANGAN TERUS TERPERANGKAP DALAM BAYANG-BAYANG DAP
IPOH, 13 Ogos 2026 — Saya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak mengambil maklum ketetapan Jawatankuasa DAP Perak yang menggesa parti tersebut terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketetapan ini memperlihatkan dengan jelas bahawa DAP mempunyai kepentingan politik untuk memastikan kerjasama sedia ada terus dipertahankan. Justeru, persoalan yang wajar ditujukan kepada UMNO Perak ialah: sampai bila UMNO mahu terus terikat dengan percaturan politik DAP?
Saya mencadangkan agar sudah tiba masanya UMNO Perak membuat pendirian yang jelas, berani dan berprinsip dengan mengambil kira aspirasi akar umbi serta perubahan landskap politik semasa.
Perubahan pola sokongan pengundi di Perak tidak boleh dipandang ringan. Analisis terhadap komposisi demografi dan pola pengundian di kerusi DUN serta Parlimen menunjukkan bahawa kedudukan setiap parti politik sangat bergantung kepada kemampuan mereka mendapatkan sokongan merentas kelompok pengundi.
Dalam keadaan ini, UMNO perlu bertanya sama ada kerjasama berterusan dengan DAP benar-benar memperkukuhkan kedudukan politiknya atau sebaliknya semakin menjauhkan parti itu daripada akar umbi tradisionalnya.
Kerjasama politik yang mengorbankan keyakinan penyokong sendiri akhirnya akan menjadi liabiliti politik.
Saya berpandangan, UMNO tidak boleh mengabaikan keresahan sebahagian akar umbi Melayu-Islam yang melihat kerjasama dengan DAP sebagai sesuatu yang semakin menjauhkan parti itu daripada identiti dan asas perjuangannya.
Ini bukan soal menafikan hak mana-mana kaum.
Sebaliknya, hak semua rakyat mesti terus dihormati dan dilindungi, namun pada masa yang sama prinsip, identiti dan kepentingan majoriti Melayu-Islam juga tidak boleh diketepikan demi kelangsungan sesuatu formula politik.
UMNO perlu kembali mendengar suara akar umbi dan menentukan hala tuju berdasarkan kepentingan jangka panjang parti, bangsa, agama dan negara bukan semata-mata survival kerajaan yang dibentuk melalui kompromi politik.
Saya juga ingin menyatakan bahawa satu ruang untuk membina semula kerjasama politik berasaskan Penyatuan Ummah perlu diteroka secara serius.
Kerjasama yang lebih kukuh antara parti-parti Melayu-Islam dan kekuatan politik kaum majoriti di negara ini mampu menjadi asas kepada sebuah pentadbiran yang stabil, berteraskan kepentingan majoriti, namun tetap menjamin hak dan keadilan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Inilah formula yang perlu dibincangkan secara matang, bukannya terus mempertahankan kerjasama politik semata-mata kerana takut kepada perubahan.
Justeru, sekiranya UMNO Perak benar-benar yakin bahawa landskap politik semasa memerlukan satu mandat baharu, maka keberanian politik perlu ditunjukkan.
Saya juga mengesa kepimpinan UMNO Perak yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Perak selalu ketua kerajaan negeri supaya tidak terus menangguhkan keputusan yang akhirnya hanya memanjangkan ketidaktentuan politik.
Biarlah rakyat menentukan semula siapa yang mereka mahu sebagai kerajaan.
Pilihan raya bukan ancaman kepada demokrasi. Sebaliknya, pilihan raya ialah mekanisme demokrasi untuk mendapatkan mandat yang baharu dan jelas daripada rakyat.
Sudah tiba masanya UMNO Perak menentukan masa depannya sendiri. Jangan biarkan hala tuju politik UMNO terus ditentukan oleh percaturan DAP. Jika benar yakin dengan sokongan rakyat, pulangkan mandat kepada rakyat dan biarkan rakyat membuat keputusan.
Masa depan Perak tidak boleh terus bergantung kepada kompromi politik yang menghakis keyakinan akar umbi.
UMNO Perak perlu berani membuat pendirian. Tamatkan penggal ini. Pulangkan mandat kepada rakyat. Biarkan rakyat menentukan masa depan Perak.
HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak