01/07/2026
LAPORAN MESYUARAT AGUNG TRITAHUNAN KESATUAN KAKITANGAN UMUM UiTM CAWANGAN KELANTAN (KKUUiTMCK) KALI KE-31
Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM Cawangan Kelantan (KKUUiTMCK) Kali Ke-31 telah berlangsung pada 30 Jun 2026 dengan lancar dan jayanya dengan kehadiran seramai 128 orang ahli, sekali gus mencerminkan komitmen serta sokongan padu ahli terhadap perjalanan dan hala tuju kesatuan.
Majlis telah dirasmikan oleh Puan Nordelina Zulkarnaian, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Kelantan, selaku wakil rasmi Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada KKUUiTMCK atas komitmen dalam menjaga kebajikan ahli serta berharap kesatuan terus menjadi wadah yang memperkukuh perpaduan, kerjasama dan kesejahteraan warga UiTM Cawangan Kelantan.
Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung yang lalu, pembentangan Laporan Aktiviti serta Laporan Kewangan, diikuti sesi perbahasan dan usul daripada ahli-ahli bagi memperkukuhkan lagi peranan kesatuan.
Agenda utama mesyuarat ialah pemilihan Ahli Jawatankuasa KKUUiTMCK bagi sesi 2026–2029. Keputusan pemilihan menyaksikan Pengerusi sedia ada berjaya mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi KKUUiTMCK bagi penggal 2026–2029, sekali gus membuktikan keyakinan dan kepercayaan ahli terhadap kepimpinan beliau untuk meneruskan agenda kebajikan serta pembangunan kesatuan.
Majlis turut dimeriahkan dengan 50 hadiah cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para ahli. Penyampaian hadiah cabutan bertuah telah menambahkan lagi kemeriahan majlis dan menjadi tanda penghargaan kepada ahli yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap program anjuran KKUUiTMCK.
KKUUiTMCK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Nordelina Zulkarnaian selaku wakil Rektor, seluruh ahli yang hadir serta Jawatankuasa Pelaksana yang telah bertungkus-lumus menjayakan Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Ke-31. Semoga KKUUiTMCK terus kekal sebagai sebuah kesatuan yang kukuh, progresif dan komited dalam memperjuangkan kebajikan serta kepentingan seluruh ahlinya.