30/08/2026
[Sebenarnya, Hanya Mahu Menang]
Jika politik kepartian dianggap sebagai akidah, maka ramailah yang boleh dihukum sesat. Jika politik itu akidah, ahli-ahli Parlimen yang sengaja ponteng sidang, bercakap kotor dan mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat juga sudah boleh dianggap sesat.
Saya menyokong sekiranya ahli politik, khususnya yang beragama Islam, menampilkan wajah akidah dan akhlak Islam.
Namun, apa yang kita lihat? Mengaku membawa politik Islam, tetapi kuat mencarut, s**a memaki dan mudah membinatangkan orang lain. Ada lebih teruk, undi dia masuk syurga, undi lawan masuk neraka.
Akhirnya, “politik Islam” hanya dijadikan tunggangan. Sedangkan perbuatanlah yang menjadi cerminan sebenar.
Orang Islam yang berpolitik mestilah berpegang pada akidah dan akhlak Islam. Tidak boleh memaki, mencaci atau menghina orang lain. Mereka mesti bijak memposisikan diri, matang ketika berbeza pandangan serta mampu mengemukakan cadangan yang benar-benar membawa kepentingan kepada rakyat.
Ahli Politik Muslim sepatutnya lebih baik kerana kita telah dididik oleh agama untuk jadi yang terbaik daripada pelbagai sudut.
Jangan sekadar membawa nama politik Islam, sedangkan negeri sendiri paling mundur setelah kita mentadbirnya puluhan tahun.
Jangan mendakwa memperjuangkan Islam, sedangkan pentadbiran negeri sendiri paling jauh daripada nilai kemajuan, kebajikan, kebersihan, keadilan dan akhlak yang dituntut oleh Islam.
Next Pilihanraya, ucap lagi - "Islam terancam, bangsa kita dihina" "Agenda kafir dan penjajah". Ya, menang. Kemudian - kitaran berulang.
Memalukan.
Syihabudin Ahmad