20/08/2026
PROGRAM MAHABBAH SYARIAH MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA 2026: MEYANTUNI RAKYAT, MEMARTABATKAN SYARIAH
AYER KEROH, 20 OGOS 2026 - Penganjuran Program Mahabbah Mahkamah Syariah Negeri Melaka 2026 membuktikan komitmen berterusan institusi kehakiman Syariah dalam memastikan keadilan Islam bukan sahaja ditegakkan, malah dapat dirasai dan diakses dengan mudah oleh seluruh lapisan masyarakat.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, mewakili YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka. Dalam Ucapan beliau YB Datuk menekankan pemerkasaan sistem perundangan Syariah yang berakar umbi dari warisan Kesultanan Melayu Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka, agar kekal relevan, cekap, serta diyakini rakyat.
Bagi merealisasikannya, Kerajaan Negeri Melaka telah memperuntukkan hampir RM6 juta khusus untuk pemodenan Mahkamah Syariah Negeri Melaka daripada keseluruhan RM90 juta bajet pengurusan hal ehwal Islam negeri, selaras dengan tema Bajet 2026 "Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat". Komitmen ini terbukti menerusi pencapaian cemerlang penyelesaian 82% kes (11,037 daripada 13,424 kes Mal dan Jenayah) bagi tempoh Januari 2024 hingga Ogos 2026, sekali gus mencerminkan kecekapan mahkamah dalam merungkai isu kehidupan rakyat secara adil dan pantas. Menyokong agenda pemodenan ini, kerangka undang-undang terus diperkukuh melalui penggubalan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Fi Mahkamah), termasuk perancangan menubuhkan Mahkamah Utama Syariah menjelang tahun 2027.
Menerusi semangat gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Program Mahabbah ini menjadi platform strategik untuk menyampaikan maklumat perundangan yang tepat, memelihara kesejahteraan keluarga dan membetulkan tanggapan salah masyarakat terhadap fungsi institusi Syariah. Program yang menyaksikan penglibatan seramai 480 peserta ini turut dihadiri oleh Sahibus Samahah M***i Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), wakil JAPERUN, pimpinan masyarakat, serta warga Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Bagi merealisasikan konsep Hari Bertemu Pelanggan, sebanyak 13 booth pameran dan kaunter interaktif telah disediakan meliputi perkhidmatan khidmat nasihat perundangan daripada agensi seperti MSNM, JBG, PGSM, JKM, JKPTG, dan Amanah Raya Berhad (ARB), pameran bahan ilmiah dan Jurnal Hukum, serta program derma darah dan saringan kesihatan percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dan LPPKN.
Semoga program ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya di Negeri Melaka.