05/08/2025
Terima Kasih untuk kejayaan Mesyuarat Agung Tahunan PUTERA MIC Melaka 2025
Putera MIC Negeri Melaka ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Datuk V.P Shanmugan, Pengerusi MIC Negeri Melaka, atas kehadiran dan ucapan beliau yang amat bermakna sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Putera MIC Melaka bagi tahun 2025. Ucapan beliau yang sarat dengan semangat perjuangan dan motivasi telah menyuntik iltizam baharu kepada barisan anak muda untuk terus bergerak maju demi pembangunan masyarakat India di Melaka.
Kami juga ingin merakamkan penghargaan tulus kepada Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr. Shatesh Kumar, yang telah menekankan kejayaan MIED sebagai pemacu utama dalam menyediakan peluang pendidikan kepada golongan belia kita. Beliau turut mengetengahkan keistimewaan Universiti AIMST yang menawarkan pelbagai program pengajian merangkumi bidang profesional seperti Perubatan, Farmasi, Pergigian, Sains Gunaan, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan dan banyak lagi. Sebagai sayap belia MIC, kami di Putera MIC sentiasa bersedia untuk membimbing dan membantu anak-anak muda dalam proses permohonan dan penempatan di AIMST.
Ketua Putera MIC Melaka, Saudara Thiluck Shanmugam p**a telah menyampaikan hala tuju yang jelas berkenaan pelaksanaan program pembangunan generasi muda yang akan diperkenalkan di peringkat negeri. Beliau menekankan bahawa usaha ini memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada barisan pemimpin muda India agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga berdaya saing dan berpandangan jauh.
Kami yakin dan percaya, dengan gabungan semangat, ilmu serta peluang yang disediakan, masyarakat India di Melaka akan terus mara ke hadapan dalam pelbagai sektor dan bidang.
Akhir kata, Putera MIC Melaka kekal komited dalam memperjuangkan pendidikan, pembangunan kemahiran dan penglibatan belia sebagai teras utama dalam membina masa depan yang lebih gemilang buat generasi akan datang. Putera MIC Team Putera MIC Malaysian Indian Congress