14/07/2026
𝗠𝗘𝗟𝗘𝗧𝗔𝗞 𝗝𝗔𝗪𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗧𝗜𝗠𝗕𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗦𝗣𝗘𝗔𝗞𝗘𝗥 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗟𝗨𝗔𝗥 𝗗𝗔𝗥𝗜𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔
Saya meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan menarik diri daripada Kerajaan Negeri kerana saya tidak dapat mempertahankan prinsip demokrasi negeri Melaka susulan kelulusan usul untuk mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
Saya bersama rakan-rakan ADUN DAP telah menyatakan bantahan terhadap usul ini sejak awal, sama ada secara terbuka mahupun melalui saluran pentadbiran. Kami berbuat demikian kerana kami percaya usul ini bukan sahaja bertentangan dengan semangat demokrasi, malah membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Walaupun kami sedar bahawa tanpa undi DAP atau Pakatan Harapan sekalipun, usul ini tetap boleh diluluskan kerana Barisan Nasional Melaka mempunyai jumlah ADUN yang melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan (malah usul ini disokong oleh 3 orang ADUN pembangkang) untuk meminda Perlembagaan Negeri, kami tetap memilih untuk menyatakan pendirian kami dengan jelas.
Tindakan kami untuk keluar daripada kerajaan negeri Melaka tidak akan menggugatkan kestabilan pentadbiran negeri kerana Barisan Nasional Melaka masih ada 20 orang ADUN.
Demokrasi hanya akan terus kukuh apabila kita mempertahankan hak rakyat untuk memilih wakil mereka melalui pilihan raya. Prinsip ini tidak harus diketepikan atas apa jua alasan, kerana ia adalah asas kepada sistem demokrasi kita.
Jawatan Timbalan Speaker adalah satu amanah yang saya hargai. Namun, saya tidak boleh terus memegang jawatan dalam sebuah kerajaan yang mengambil keputusan yang bercanggah dengan keyakinan dan prinsip yang saya perjuangkan.
Saya membesar dalam generasi yang percaya bahawa demokrasi ialah keberanian untuk mempertahankan prinsip, walaupun pendirian itu bukan pendirian yang paling mudah. Selagi saya diberi amanah oleh rakyat, saya akan terus mempertahankan prinsip tersebut.
Kerana ini
Kerk Chee Yee
ADUN Ayer Keroh
14 Julai 2026